Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Sarawak Nekad Tidak Mahu Berkrompomi Seperti Terkandung Dalam Perjanjian Malaysia 1963


KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak nekad dan tidak mahu berkrompomi terhadap empat perkara seperti yang terkandung dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

"Kerajaan Negeri Sarawak telah menetapkan beberapa perkara yang tidak terbuka untuk perbincangan antaranya Kuasa Otonomi Imigresen, Hak untuk menguatkuasakan Undang-undang Negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perlindungan sempadan negeri dan Kedaulatan atas dasar laut, bawah tanah dan hasil-hasilnya di dalam sempadan negeri," kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg dalam sidang medianya di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Abang Zohari turut mengumumkan satu keperluan kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sarawak dan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

"Ini meliputi hak kepada sumber kewangan tambahan di bawah jadual kesepuluh Perlembagaan Persekutuan dan kuasa baki perundangan (residual power) di bawah Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan.

"Begitu juga dengan tanah negeri yang tidak diperlukan lagi oleh Kerajaan Persekutuan iaitu yang terletak di bawah Federal Land Commission, hendaklah dikembalikan semula kepada Sarawak dan pelaksanaan kuasa Persekutuan berkaitan Pendidikan, Perubatan dan Kesihatan yang kurang memuaskan," tambahnya. 

Bagaimanapun, ujar Abang Zohari lagi mesyuarat juga bersetuju terhadap keputusan pembentangan dan perbincangan dibuat dalam mesyuarat tersebut.

"Kerajaan Negeri Sarawak menyokong atas cadangan pindaan perlembagaan dalam Perkara 1(2) mengenai tiga (3) wilayah dalam pembentukan Malaysia.

"Isu-isu yang dibentangkan oleh Sarawak dan Sabah akan diperinci dan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam dua (2) jawatankuasa yang turut ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja.

"Penambahan ahli-ahli bagi Jawatankuasa Khas seperti yang dicadangkan oleh kedua-dua pihak Sabah dan Sarawak dan kajian semula perkara-perkara khusus yang hanya melibatkan Sarawak dan Sabah tidak akan menjejaskan kedudukan negeri lain dalam hal kuasa negeri untuk menggubal undang-undang negeri, geran khas dan hasil pendapatan khas (Special Revenue) di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Pada 17 Disember lepas, satu Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Khas untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 telah diadakan dan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.