Header Ads

Header ADS

Tahlil Allahyarham Tok Nan Iringi Sambutan Tahun Baru 2019 Di DUN Tanjong Datu


SEMATAN: Sambutan Tahun Baru 2019 kali ini sedikit kelainan dengan mengadakan Majlis Tahlil Allahyarham Pehin Sri Haji Adenan bin Haji Satem yang diadakan di Masjid Nurul Islam Kampung Tanah Hitam Sematan di sini, Isnin lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Hajah Jamilah Hj Anu dalam ucapan ringkasnya memberitahu sambutan tahun baru 2019 kali ini diadakan dalam bentuk keislaman supaya lebih banyak kebaikan yang dapat diperoleh masyarakat di seluruh kawasan Tanjong Datu.

"Pada tahun baru 2019 ini, sambutan Ambang Tahun Baru 2019 diadakan dengan memberikan penekanan kepada aspek keislaman.

"Bagaimanapun, aktiviti lain tetap juga diadakan seperti gunting rambut percuma 'Back To School', pendaftaran ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), PERKIM dan Ibu Tunggal Daerah Lundu. 

"Juga diadakan persembahan tarian, nyanyian, pertandingan Ratu Kebaya, bergendang dan nopeng sementara menunggu detik 12.00 malam sebagai memeriahkan sambutan Ambang Tahun Baru 2019," katanya.

Pada majlis itu, Jamilah turut menyampaikan sumbangan berupa telekung dan kain pelikat kepada hadirin yang hadir. 

Sementara itu, dalam ucapan sambutan Ambang Tahun Baru 2019 Jamilah berharap tahun 2019 nanti masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu akan lebih bersatu padu dan bekerjasama untuk fasa baharu dan berazam untuk memenuhi janji-janji yang dibuat sebelum ini serta meneruskan usaha dengan lebih agresif.

"Pada tahun 2019, saya mengharapkan agar kita akan lebih berusaha dan bersatu padu dalam memajukan kawasan di kawasan DUN Tanjung Datu ini.

"Dalam pada itu, saya juga akan memastikan setiap janji-janji yang telah dibuat sebelum ini akan dapat ditunaikan pada tahun 2019 dan meneruskan agenda pembangunan yang lebih agresif untuk masyarakat di Tanjung Datu," katanya.

Teks ucapan beliau telah dibacakan Pegawai Daerah Lundu, Awang Putra Yusry bin Awang Redzuan yang mewakilinya selepas beliau terpaksa pulang segera kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan.


Sambutan Ambang Tahun Baru 2019 itu walaupun hujan, tetapi tetap meriah dengan kebanjiran masyarakat Lundu dan Sematan di Town Square Sematan.

Terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) penganjur yang terdiri Pusat Khidmat N.03 Tanjong Datu dan Pejabat Kecil Daerah Sematan Lundu dalam penganjuran program Ambang Tahun Baru 2019.

Jamilah turut juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan Bauxite yang menjadi memenangi Piala YB Datuk Amar Hajah Jamilah Hj Anu dalam Kejohanan Liga Bola Sepak Lundu selepas mengalahkan pasukan FLFT.

Hadir sama Penolong Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sematan Hershad Ehsan, Pemanca Lo Sin Li, Pemanca Bujang bin Jali, Timbalan Ketua Cawangan PBB N.03 Tanjong Datu Kaunselor Abu Seman bin Karim, Ketua Wanita PBB N.03 Tanjong Datu Kaunselor Fatimah Abdullah dan Ketua-Ketua Masyarakat. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.