Header Ads

Header ADS

Enggan Bekerjasama Punca Masyarakat Penan Tidak Mempunyai Dokumen Pengenalan Diri


TELANG USAN: Keengganan sesetengah masyarakat Penan untuk bekerjasama dengan kerajaan merupakan salah satu punca masih terdapat dalam kalangan mereka tidak mempunyai MyKad dan sijil lahir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, keengganan mereka bekerjasama dengan menghalau pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang datang ke kampung mereka bukan hanya merugikan diri sendiri, malah menjejaskan penduduk lain yang tidak mempunyai dokumen tersebut.
Dennis memberikan contoh pada 2016, beliau menghantar Unit Khas Bergerak (UKB) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Miri ke penempatan Penan di Ba Pakan untuk membantu mereka yang belum mempunyai MyKad dan sijil lahir memohon dokumen itu.
“Namun kedatangan mereka tidak diterima dan dihalau kerana menuduh mereka ejen kerajaan Barisan Nasional. Walaupun tujuan dijelaskan, namun kamu tetap menghalau mereka serta-merta.
“Sikap bertindak terburu-buru ini menyusahkan orang lain yang tidak mampu ke cawangan JPN di Long Lama dan mengharapkan dokumen itu dibuat di kampung. Sikap sesetengah pihak ini turut melambatkan proses pendaftaran dan permohonan,” kata Dennis.
Dennis berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran selesainya pengubahsuaian gereja serta penyampaian sijil lahir dan MyKad kepada penduduk Penan di Ba Pakan, semalam.
Seramai 19 penduduk Penan di situ menerima sijil lahir manakala dua lagi menerima MyKad.
Mereka merupakan pemohon yang berjaya semasa operasi Unit Bergerak JPN Miri yang diadakan di Ba Pakan pada Jun lepas.
Dennis menambah, beliau berjaya memujuk UKB Miri untuk datang sekali ke Ba Pakan memandangkan ramai penduduk di situ belum mempunyai sijil lahir dan MyKad.
“Mereka pada mulanya tidak mahu datang meskipun tahu ramai yang tidak mempunyai dokumen kerana bimbang dihalau lagi.
“Saya memberi jaminan perkara itu tidak berlaku dan menemani UKB ke kampung ini,” jelas Dennis.
Dennis menambah, akhirnya dengan pertolongan Pastor Dennis Bayoh, operasi UKB tersebut berjalan dengan lancar dan penyampaian MyKad dan sijil lahr semalam adalah antara bukti usaha itu tidak sia-sia.
Dengan adanya dokumen itu, mereka dapat mengakses pelbagai perkhidmatan dan bantuan kerajaan.
Beliau berharap, insiden seumpama itu tidak berulang lagi dan semua penduduk harus memberikan kerjasama kepada wakil kerajaan yang melawat kampung mereka.
Ujar beliau, sejajar dengan fokus Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membangunkan kawasan luar bandar Sarawak, dijangkakan lebih ramai pegawai kerajaan negeri akan datang melawat pedalaman Baram.
“Matlamat utama kita ialah untuk melihat kawasan pedalaman seperti Baram membangun dan tidak ketinggalan.
“Dalam hal ini saya gembira kerana penduduk Penan di Ba Pakan sudah mulai menerima pembangunan dan mahu berusaha untuk maju,” tambah beliau.
Dennis gembira kerana kerja-kerja pengubahsuaian gereja itu berjaya dilaksanakan secara gotong-royong menggunakan peruntukan RM5,000, yang menurut beliau satu jumlah yang kecil.
Beliau menggesa jawatankuasa gereja Ba Pakan memohon peruntukan daripada Unit Hal Ehwal Agama Lain ( UNIFOR) untuk kerja pengubahsuaian yang lebih besar.
Hadir sama Pastor Sidang Injil Borneo (SIB) Ba Pakan Dennis Bayoh. 
Ba Pakan yang terletak kira-kira lima jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Miri mempunyai 210 penduduk daripada 52 keluarga. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.