Seekor Buaya Dipercayai Membaham Seorang Pelajar Berjaya Ditangkap Penduduk
MARUDI, 22 November - Seekor buaya sepanjang 11 kaki yang menakutkan penduduk rumah panjang di Sungai Tapang, Peking di Tinjar, Baram berjaya ditewaskan penduduk kampung selepas termakan umpan seekor ayam.
Buaya itu dipercayai membaham seorang pelajar perempuan dari rumah panjang tersebut pada awal tahun lalu, Agnes Luang, 17, berjaya ditangkap dan ditembak sendiri ketua kaum mereka, Tuai Rumah Jampang Kantan, jam 6.30 pagi semalam.
Menurut beliau, kail berumpankan seekor ayam dipasang di Sungai Tapang berhadapan tempat mandi penduduk rumah panjang berkenaan, petang kelmarin (Selasa).
“Sebelum ini, penduduk rumah panjang ternampak seekor buaya berenang-renang ke hulu dan ke hilir di hadapan rumah panjang terutama di tempat penduduk mandi dan membasuh dalam keadaan tampak ‘jinak’, langsung tidak takut kepada kami.
“Bimbang dengan keselamatan anak-anak buah, saya rasa perlu menangkap buaya itu dan memasang umpan di tempat ia kerap kelihatan,” katanya.
Jampang turut dibantu seorang penduduk, bapa mangsa baham buaya tersebut, Luang Banta, 58, dan seorang pawang, Dino Nanta, 62.
Ketika memeriksa umpan itu jam 6.30 pagi semalam, mereka bertiga terkejut mendapati umpan berkenaan mengena dan Jampang tiada pilihan lain selain menembak buaya atas aspek keselamatan diri dan penduduk rumah panjangnya.
Mereka kemudian dibantu penduduk mendapatkan bangkai buaya tersebut untuk ditarik ke halaman rumah panjang mereka. Selepas membunuh reptilia tersebut, Jampang kemudian memaklumkan kepada Sarawak Forestry (SFC) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Jampang dan Luang percaya buaya tersebut adalah buaya sama yang membaham Agnes ketika mangsa sedang bersama ibu dan penduduk kampung di tempat mandi, tepi Sungai Tapang jam 5.30 petang, pada 21 Februari tahun lalu. -Utusan Borneo Online
No comments