Header Ads

Header ADS

Biar PH Sibuk Dengan Retorik Politik, GPS Mahu Fokus Berkhidmat Kepada Rakyat


KUCHING - Penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Sarawak akan terus menjadi tumpuan utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika Pakatan Harapan (PH) Sarawak sibuk dengan retorik politiknya.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen dan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Betong Vernon Albert Kedit begitu gigih meyakinkan rakyat Sarawak bahawa kepimpinan negeri ini patut menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan PH atau akan terpinggir dari pembangunan.

"Adakah mereka berbunyi seperti serius dan ikhlas untuk melindungi hak-hak dan kepentingan Sarawak?

"Kita di Sarawak keluar dari BN (Barisan Nasional) dan selama ini dapat melindungi Sarawak daripada dimasuki UMNO tetapi ironinya Chong dan Vernon sekarang mahu rakyat Sarawak memilih PH yang dikawal Semenanjung Malaysia untuk memerintah kita," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Abdullah berkata ia amat jelas sekali dan semua rakyat Sarawak seharusnya berhati-hati, PH Sarawak diketuai Chong sekarang secara rasminya adalah 'agen provokatur' bertindak bagi pihak tuan mereka (PH) di Semenanjung Malaysia dengan tugas untuk mengambil alih pentadbiran Sarawak.

"Mari kita imbau kembali janji-janji Chong dan PH Sarawak serta jaminan untuk rakyat Sarawak jika PH mengambil alih pentadbiran persekutuan antaranya, royalti petroleum 20 peratus, lebih banyak dana pembangunan dan RM1 bilion untuk sekolah daif di negeri ini.

"Tidak mengapa, jika mereka tidak dapat menunaikannya dalam masa 100 hari atau setahun seperti dijanjikan, rakyat Sarawak boleh tunggu dan memberi mereka lebih masa.

"Tetapi dalam semua keadilan dan kebarangkalian ini, adakah rakyat Sarawak percaya mereka (PH) akhirnya akan menunaikan jaminan-jaminan dan janji-janji mereka itu?," katanya.

Abdullah berkata pada 11 Mac 2018, Chong mengumum dan berjanji untuk membentang usul di Parlimen bagi meminda Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, sekarang beliau ahli kabinet dalam kerajaan persekutuan PH, namun 'kecut' dengan janji-janjinya itu.

Abdullah berkata rakyat Sarawak,  seharusnya berasa ragu-ragu dan mengingati semua janji dan jaminan PH itu.

"Kerajaan PH telah menetapkan Sarawak layak mendapat royalti minytak dan gas daripada 'keuntungan'. Ini tidak diterima dan kerajaan GPS menolak idea yang tidak adil ini tetapi wakil-wakil PH dari Sarawak termasuk Chong juga terus berdiam diri.

"Chong dan (Pengerusi PKR Sarawak) Baru Bian mewakili Sarawak dalam Kabinet Persekutuan sebagai Timbalan Menteri dan Menteri mengakui mereka tidak dibawa berbincang ketika Bajet Persekutuan dirangka.

"Itu menunjukkan betapa hormatnya pemimpin-pemimpin Kerajaan Persekutuan PH kepada kebajikan Sarawak," sindirnya.

Menurut Abdullah, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pemimpin-pemimpin PH memberi pelbagai sebab dan alasan kerana tidak dapat menunaikan janji-janji pilihan rayanya tetapi masih tanpa segan silu bercakap mengenai 'Malaysia Baharu'.

Menteri Kewangan PH (Lim Guan Eng) katanya memperkenalkan Bajet Persekutuan (2019) yang tidak berbeza dengan bajet persekutuan sebelum ini tetapi banyak aspek diambil daripada Sarawak.

Antara perkara yang tidak ada dalam Bajet Persekutuan PH untuk 2019 katanya ialah geran khas tidak kurang RM30 juta setahun bagi tujuan ukur keliling tanah hak adat Bumiputera (NCR).

"Ke mana RM1 bilion peruntukan persekutuan untuk sekolah-sekolah daif di Sarawak?

"Kerajaan GPS Sarawak menawarkan pinjaman kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejumlah RM1 bilion tetapi tiada maklum balas meyakinkan daripada kerajaan persekutuan," ujarnya.

Abdullah berkata semasa kerajaan terdahulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) diperuntukkan RM280 juta untuk menyelenggara jalan raya tetapi Baru Bian selaku Menteri Kerja Raya baru-baru ini mengakui untuk 2019, Kementerian Kewangan hanya memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan itu.

Beliau menambah Bajet Persekutuan hanya memperuntukan RM4.3 bilion untuk Sarawak iaitu cuma 7.9 peratus daripada jumlah keseluruhan belanjawan pembangunan.

Katanya lagi, Bajet Persekutuan 2019 yang diperkenalkan oleh pentadbiran PH tidak menggambarkan peruntukan yang adil dan saksama untuk Sarawak walaupun janji-janji ditaburkan PH Sarawak.

"Sekarang, sebaliknya berlaku kerajaan negeri GPS memperkenalkan lebihan bajet  yang telah memecah rekod, RM11.9 bilion dan RM9.1 bilion dikhususkan untuk pembangunan pelbagai infrastruktur.

"Rakyat Sarawak seharusnya mengetahui daripada RM9.1 bilion untuk pembangunan, 67peratus sama dengan RM6 bilion adalah untuk pembangunan luar bandar," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan GPS Sarawak turut mengumumkan anggaran jumlah pendapatan negeri RM10.5 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa dicadangkan sejumlah RM10.3 bilion, ia dijangka menjana tambahan RM122 juta.

Paling penting katanya, semua rakyat Sarawak perlu tahu bahawa kerajaan negeri GPS tidak menggunakan rizab negeri yang bernilai kira-kira RM30 bilion.

"Ini membuktikan kerajaan Sarawak tidak hanya begitu cermat dan berhati-hati dalam mengurus dana negeri tetapi tahu bagaimana menjana pendapatan tambahan.

"Kerajaan negeri Sarawak mempunyai pengurusan kewangan terbaik dalam kalangan negeri di Malaysia...Ada tak anda melihat mana-mana pemimpin GPS sibuk membuat segala alasan untuk tidak memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Sarawak," katanya.

Apa yang didengar daripada GPS ialah mereka begitu bersemangat ingin melihat negeri ini maju dalam segala aspek dan keberanian untuk melindungi hak-hak dan kepentingan Sarawak, katanya.

Menurut Abdullah, rakyat Sarawak juga akan menolak budaya politik yang 'hodoh' diguna pakai parti-parti politik dari Semenanjung Malaysia.

"Jangan lupa, tentang semua dasar-dasar yang lucu dan 'hangat' diperkenalkan oleh para menteri PH yang tidak berpengalaman.

"Adakah semua rakyat Sarawak benar-benar percaya, nasib kita akan dijaga dengan baik oleh pemimpin-pemimpin PH di Semenanjung Malaysia?

"Dengan senario asas ini, adakah rakyat Sarawak sangat memerlukan pemimpin PH dari Semenanjung Malaysia untuk membantu kita dalam mengurus hal ehwal negeri ini?," soalnya.

Abdullah berkata pilihan raya umum baharu berlangsung enam bulan lalu dan pilihan raya negeri dua tahun lalu, sudah tentu, pemimpin PH akan lebih kerap datang ke Sarawak, sibuk bermain politik bukannya bekerja untuk rakyat.

Ahli politik PH Sarawak katanya sentiasa mencari strategi untuk menghadapi pilihan raya negeri ke-12 mungkin diadakan dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Rakyat Sarawak akan melihat sendiri, ketika Chong dan PH Sarawak sibuk menyerang dengan retotik politik mereka, GPS akan memberi tumpuan sepenuhnya dan melakukan 'serangan balas' dengan perkhidmatan yang berpusat kepada rakyat," ujarnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.