Projek Pembangunan Serian Diperkasakan - Abang Jo
SERIAN, 22 November - Kerajaan Sarawak akan memperkasakan projek-projek pembangunan di sini, selaras dengan taraf Serian sebagai sebuah bahagian.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata antara yang akan dilaksanakan adalah pembinaan Pejabat Residen Serian di mana pembangunannya dijangka bermula Februari tahun depan.
Pada masa sama, katanya pusat komersial juga akan dibangunkan oleh Borneo Development Corporation.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak juga akan menaik taraf jalan-jalan raya termasuk Jalan Padawan lama serta membangunkan pembesaran kampung di Tebakang.
“Inilah projek-projek yang sedang dilaksanakan dan kita berharap ia dilaksanakan mengikut jadual,” katanya selepas taklimat mengenai pembangunan Serian di Pejabat Residen Serian, di sini semalam.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat yang juga ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem, ADUN Bukit Semuja John Illus dan ADUN Kedup Martin Ben.
Di samping itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak turut merancang membangunkan kawasan berdekatan Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Tebedu.
“Walaupun CIQ Tebedu adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi pembangunan berdekatan dengan CIQ ini akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” ujarnya.
Bagaimanapun apabila ditanya mengenai kos bagi kesemua projek pembangunan tersebut, Abang Johari enggan mendedahkannya namun menyatakan ia menelan kos yang banyak. -Utusan Borneo Online
No comments