Header Ads

Header ADS

Ketua Menteri Sarawak Ketua Delegasi Sarawak Ke Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963


KUCHING - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengetuai delegasi Sarawak bagi menghadiri mesyuarat bersama Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 17 Disember depan.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 tersebut akan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.

Bercakap pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perunding MA63 Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata Ketua Menteri akan memilih sendiri ahli delegasi yang akan menyertainya pada mesyuarat tersebut.

“Meskipun Jawatankuasa Pemandu di peringkat pusat telah menamakan wakil dari Sarawak dalam jawatankuasa tersebut tetapi kita ada hak untuk memilih wakil kita sendiri.

“Jawatankuasa Perunding yang kita tubuhkan ini adalah untuk membantu Ketua Menteri dan menasihati Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung pemulihan hak-hak Sarawak dalam MA63,” katanya.

Pada sidang media tersebut, Asfia turut menegaskan pendirian Sarawak dan jawatankuasa tersebut berhubung isu-isu berkaitan MA63.

Sarawak katanya, mesti lantang bersuara dengan satu suara demi Sarawak kerana kegagalan berbuat demikian akan berakhir sebagai suara yang tidak didengari.

“Dalam pendekatan kita, kita mesti berpandukan sejarah, logik secara sah dan perlembagaan yang tepat.

“MA63 adalah suci kerana ia tidak hanya satu perjanjian tetapi juga perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh Kerajaan Great Britain, Persekutuan Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambah Asfia lagi, terdapat banyak bidang yang boleh dan tidak boleh dipersetujui yang perlu dikaji.

Sebagai contoh isu mengenai imigresen, ia dianggap sebagai tidak boleh dirunding begitu juga dengan hak wilayah Sarawak dan pelantar benua.

“Kalau pun perkara-perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu itu nanti, Sarawak bertegas mempertahankan hak-hak ini.

“Imigresen tidak boleh dirunding kerana ia akan membuka pagar untuk kebanjiran pendatang dari luar Sarawak dan menyapu populasi Sarawak yang tidak dapat diterima,” tegasnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.