Buat Kenyataan Selepas Sedari Imej PH Tercalar - Dr Hazland
KUCHING - Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sarawak membuat kenyataan media selepas menyedari imej kerajaan PH tercalar dan menurun.
Ini menurut Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni, disebabkan kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji-janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada rakyat Sarawak.
Beliau berkata dalam usaha menutup kelemahan dan kekurangan kerajaan PH, pemimpinnya di Sarawak cuba membabit dan mengaitkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas rakyat negeri ini mula sedar mereka telah ditipu selepas 9 Mei 2018.
Menurutnya, rakyat mula sedar mereka telah ditipu akibat daripada tempias yang telah berlaku ke atas rakyat di Semenanjung Malaysia dan Sabah selain kenyataan menteri dan timbalan menteri dalam kabinet persekutuan berkaitan kegagalan mereka menunaikan manifesto.
“Selepas berjaya menawan Putrajaya pada 9 Mei 2018 dan membentuk kabinet persekutuan, kerajaan PH yang turut dibarisi pemimpin PH Sarawak, apakah sumbangan telah diberikan kepada rakyat Sarawak dalam tempoh itu?
“Sebaliknya, banyak projek infrastruktur rakyat yang pernah dijanjikan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) dibatalkan tanpa sebarang alasan munasabah,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar semalam.
Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Ne-geri (ADUN) Demak Laut berkata malah, cadangan pengurangan kos pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dianggarkan RM4 bilion turut menjejaskan pelaksanaannya yang kini membelenggu kontraktor kerana tidak dibayar.
Kerajaan PH katanya, se-cara sinis berkata pemoto-ngan jumlah peruntukan LPB dikatakan untuk memberi kembali jumlah itu kepada kerajaan negeri dalam Belanjawan 2019.
“Sehingga kini, Menteri Kerja Raya yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak tidak pernah menjelaskan secara terperinci mengenai alasan pengurangan tersebut walaupun ditanya pada Persidangan DUN lepas,” katanya.
Dr Hazland berkata kerajaan PH tidak akan mengembalikan hak-hak Sarawak jika mereka menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana kemungkinan mereka akan memansuhkan segala undang-undang dan ordinan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ini kerana ujarnya, kerajaan PH mengawal dan memantau pergerakan PH Sarawak walaupun mereka bercakap mengenai hak autonomi.
“Ketika itu, menangis pun tiada gunanya disebabkan nasi sudah menjadi bubur.
“Ketika ini Sarawak ha-nya memerlukan parti-parti politik tempatan yang bertuankan rakyat Sarawak sahaja dan bukan bertuankan Malaya.
“GPS benar-benar memperjuangkan nasib rakyat Sarawak dengen memfokuskan kepada mendapatkan kembali hak dalam MA63 dan kuasa autonomi,” katanya.
Beliau berkata banyak projek pembangunan yang telah dibangunkan di kawasan luar bandar tidak diperjelaskan oleh PH Sarawak kerana mereka takut dengan bayang-bayang sendiri.
Ini kerana PH Sarawak tahu pembangunan di bawah kerajaan GPS di luar bandar dan bandar benar-benar telah meringankan beban serta masalah rakyat.
“Belanjawan Sarawak 2019 memperuntukkan 70 peratus daripada jumlah keseluruhannya bagi pembangunan luar bandar berbanding Belanjawan 2019 kerajaan PH yang menganaktirikan keperluan rakyat Sarawak di luar bandar serta pedalaman,” ujarnya. -Utusan Borneo Online
No comments