Header Ads

Header ADS

Penduduk 5 Buah Rumah Panjang Kini Mula Nikmati Bekalan Air Terawat 24 Jam


BINTULU - Penduduk di lima rumah panjang di Sungai Sigu, Sebauh kini dapat menikmati kemudahan air terawat 24 jam setelah Kerajaan Sarawak melaksanakan Projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) berkos RM14 juta di rumah panjang berkenaan.

Ia merupakan projek di bawah Program Grid Bekalan Air dalam bidang kuasa Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dengan peruntukan RM2.8 biliondi seluruh Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan dana RM2.8 bilion melalui pelaksanaan projek SAWAS akan membolehkan penduduk menikmati air terawat sepenuhnya secara berterusan tanpa bergantung kepada kemudahan air graviti selama 24 jam.

Katanya, lima rumah panjang di Sebauh diberi kemudahan itu yang berkos RM14 juta yang mana kemudahan itu akan membekalkan air terawat secara berterusan.

"Sebanyak 217 projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di luar bandar seluruh Sarawak dengan kos berbilion ringgit," ujarnya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Projek SAWAS Pakej 1 di Rumah Banta Baong Sungai Sigu Sebauh semalam.

Projek SAWAS Pakej 1 meliputi Rumah Unchau, Rumah Banta Baong, Rumah Sunam Una, Rumah Kaya Paji dan Rumah Renang dengan peruntukan RM14 juta bermula pelaksanaan pada 31 Oktober 2017 dan siap 30 Ogos 2018 yang memberi manfaat kepada kira- kira 100 pintu di lima rumah panjang kawasan tersebut.

Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak telah mengambil alih projek itu dengan menumpu kawasan luar bandar yang banyak tidak menerima air terawat sekali gus projek itu dengan sumbernya dari air sungai akan lebih bersih untuk mandi dan keperluan makan minum penduduk.

"Sekarang ini kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan pusat yang mengumum itu ini tetapi tidak datang melaksanakannya," katanya sambil menambah, akan mencari dana khusus untuk pelaksanaan projek kemudahan air di seluruh Sarawak.

Beliau berkata, pada 5 November beliau akan mengumumkan dalam Bajet Sarawak bagaimana cara mendapatkan dana untuk membangunkan Sarawak dan ia juga adalah bajet rekod di Sarawak yang melibatkan peruntukan untuk air, elektrik dan jalan raya termasuk menara telekomunikasi.

Katanya, Kerajaan Sarawak akan membina semua menara telekomunikasi dan menara yang telah siap dibina adalah di Long Busang Hulu Rajang yang sebelumnya tidak ada isyarat telekomunikasi.

Abang Johari menyatakan keikhlasan Kerajaan Sarawak untuk membantu rakyat Sarawak sambil berharap rakyat bersabar menunggu bajet yang akandibentangkannya pada 5 November ini dalam usaha membantu membangunkan infrastruktur penting termasuk jalan raya di Sarawak.

Di samping telah dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik, beliau turut memberi jaminan akan membina menara telekomunikasi di Rumah Bantaserta akan membincangkan cara untuk melaksanakan pembinaan jalan raya berturap di kawasan itu seperti yang diminta penduduk melalui Penghulu Banta Baong.

"Apa yang penting rakyat Sarawak bekerjasama, perpaduan mesti ada. Orang semua mahu tengok Sarawak sebab Sarawak mengeluarkan minyak dan gas lebih-lebih lagi Bintulu.

"Semua mahu ambil Sarawak sebab kaya dengan minyak dan gas, sebab itu saya mengatakan Sarawak mesti dijaga orang Sarawak dan jangan suruh orang lain jaga seperti yang diperkatakan oleh Tok Nan, 'Take Care Sarawak' dengan kuasa yang terhakis dikembalikan semula kepada Sarawak," katanya sambil menyatakan ketegasan untuk meneruskan kerja Tok Nan dengan mengambil kuasa yang terhakis supaya negeri ini dapat diurus sendiri oleh pemimpin negeri ini.

Turut diumumkan Abang Johari ialah memberi peruntukan dengan kos RM700,000 untuk membaik pulih kawasan tanah runtuh serta bahagian dapur Rumah Banta.

Hadir sama Menteri Utiliti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) Datu Jaul Samion, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah JBALB Sarawak Chang Kuet Shian, Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat dan Tuai Rumah Nicholas Sandom serta Penghulu Banta Baong. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.