Header Ads

Header ADS

Dakwaan Kerajaan Sarawak Tidak Peduli Rakyat Adalah Pembohongan - Idris Buang


KUCHING - Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen mengatakan Kerajaan Sarawak menyimpan rizab negeri berjumlah RM31 bilion kerana tidak mempedulikan keperluan rakyat, adalah satu pembohongan.


Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang berkata Chong merupakan seorang ahli politik yang licik berkata-kata tetapi auta.


Beliau berkata Chong sepatutnya ikhlas menerima kenyataan bahawa rakyat Sarawak khasnya di luar bandar mempunyai bukti nyata dan merasai sendiri pelbagai pembangunan dibawa Kerajaan Sarawak sejak dahulu lagi.

“Terlalu banyak pembangunan yang dicapai jika kita hendak menghuraikannya tetapi keperluan rakyat semakin bertambah seiring pertambahan jumlah populasi Sarawak.

“Tahap kehidupan rakyat pun nyata semakin baik secara keseluruhannya. Menidakkan adanya pembangunan pesat di luar bandar adalah pembohong yang Chong suka buat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita bertajuk ‘Sarawak government an ‘irresponsible’ regime, says Chong’ bertarikh 28 Oktober 2018.

Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dipetik sebagai berkata Kerajaan Sarawak mempunyai rizab RM31 bilion dan memperuntukkan jumlah besar untuk pembangunan luar bandar kerana sedar perubahan kerajaan merupakan ‘bencana besar’ pada Pilihan Raya Negeri akan datang jika terus menyimpan rizab tersebut.

Tambahnya walaupun Sarawak mempunyai rizab RM31 bilion dalam akaun bank, majoriti kawasan luar bandar masih sangat mundur.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang berkata banyak jalan raya telah dibina menghubungkan bandar dengan kawasan pedalaman terpencil.

Tambahnya Chong harus ingat, pembangunan infrastruktur seperti sekolah dan kemudahan penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan pusat seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Bagaimanapun ujarnya, sejak kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, banyak projek pembangunan kerajaan persekutuan termasuk yang bersaiz kecil di Sarawak tidak diteruskan.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak terpaksa menggunakan rizabnya untuk memastikan keperluan rakyat lebih-lebih lagi yang kritikal seperti membaik pulih sekolah daif, membekalkan bekalan air dan elektrik ke luar bandar diteruskan.

“Chong sepatutnya mengakui kelemahan diri serta ketidakcekapan dalam kerajaan PH untuk mengambil berat keperluan rakyat Sarawak di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

“Disebabkan tidak cekap dan terlalu asyik bermain politik mereka gagal mengendalikan projek-projek dirancang kerajaan terdahulu sambil petah memberi alasan-alasan dan banyak berdalih.

“Alasan ‘dana tidak cukup’ tidak boleh kita terima ,itu hanya auta kerana bukti nyata dan rakyat pun tahu dana yang ditinggalkan BN dulu adalah banyak iaitu melebihi RM400 bilion,” katanya.

Menurutnya, Chong wakil Sarawak dalam kerajaan PH gagal membela nasib rakyat negeri ini waimma hanya projek-projek kecil.

Sebaliknya Chong ujar Idris, dengan mudah tetapi tidak ikhlas dan telus memberi alasan pemberhentian projek projek itu adalah atas dasar ia ‘hot air’ atau ‘projek kroni’.

Seolah-olah dengan memberi sebab demikian mereka kononnya mempunyai alasan yang sahih untuk lari daripada tanggungjawab membela nasib rakyat Sarawak, tambahnya. -Utusan Borneo Online

https://www.utusanborneo.com.my/2018/10/30/dakwaan-kerajaan-sarawak-tidak-peduli-rakyat-adalah-pembohongan-idris

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.