Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Sarawak Dan Persekutuan Perlu Bekerjasama Pantau Harga Rumah


KUCHING - Kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan perlu bekerjasama memantau rapi semua pemaju perumahan di negeri ini untuk mengawal harga pasaran rumah.

Menteri Muda Perumahan Dr Annuar Rapa’ee berkata harga rumah di pasaran adalah dipengaruhi pelbagai faktor antaranya kos tanah, bahan binaan, lokasi tapak, permintaan dan lain-lain.

Justeru katanya, meskipun bahan binaan utama dan perkhidmatan pembinaan dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun harga rumah masih belum tentu dapat diturunkan.

“Harga pasaran rumah bukan sahaja dipengaruhi kos bahan binaan utama semata-mata tetapi banyak lagi faktor lain yang perlu diambil kira. 

“Meskipun bahan binaan utama dikecualikan daripada SST tetapi kita perlu ingat bahawa kos tanah atau harga tanah tidak turun.

“Jadi saya rasa pengecualian SST semata-mata tidak dapat menurunkan harga rumah tetapi yang paling penting untuk kita mengawal harga rumah ini adalah pemantauan rapi ke atas semua pemaju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran rumah contoh Projek Petra Vistana Amethyst di Taman Kopodim Matang di sini semalam.

Tambah Dr Annuar, banyak rumah mampu milik yang dibangunkan di Sarawak dibiayai kerajaan persekutuan dan tanah pula disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

Di sinilah perlunya kerjasama antara kedua-dua kerajaan supaya projek-projek ini dapat dibangunkan pada harga yang mampu dimiliki oleh rakyat.

Bagi meringankan beban rakyat dalam memiliki kediaman sendiri, Dr Annuar turut mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya memberi insentif kepada pembeli muda.

Sebagai contoh katanya, pembeli rumah pertama bagi unit rumah RM300,000 ke bawah diberi rebat 10 peratus oleh kerajaan persekutuan bagi meringankan beban mereka dan insentif sama boleh diberikan kepada pembeli muda.

Selain itu Dr Annuar turut mencadangkan kepada pihak pemaju supaya menawarkan konsep sewa dan beli untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.