Masih Tiada Lagi Sekolah Daif Di Sarawak Dinaik Taraf Oleh Kerajaan Pakatan Harapan
KUCHING - Masih belum ada sekolah daif yang dinaik taraf atau dibaik pulih oleh kerajaan pusat semenjak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pada Mei lepas.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, apa yang dilaksanakan berkaitan sekolah daif di Sarawak setakat ini hanya 116 projek sahaja, iaitu semasa di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
"Bagi Sarawak, semenjak Mei iaitu apabila PH mengambil alih kerajaan, mereka tidak ada melakukan apa-apa berkaitan dengan sekolah daif.
"Apa yang telah dilaksanakan semasa di bawah kerajaan BN, iaitu 116 kontrak projek kepada 116 buah sekolah yang dikeluarkan pada Februari tahun ini iaitu bagi program menggunakan Sistem Bangunan Berindustri (IBS).
"Itu adalah pada Februari 2018 yang masih di bawah kerajaan BN dan ia tidak boleh didakwa dilaksanakan oleh Pakatan (Harapan)," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian hadiah Junior Innovate & Sarawak NextSparks 2018 di sini, hari ini.
Malahan katanya, daripada jumlah 116 projek berkenaan, 50 projek adalah dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sementara 66 projek di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Manyin menegaskan bagi JKR, semua 50 projek itu disiapkan sementara di bawah KPM daripada 66 projek hanya 16 siap selebihnya masih belum disiapkan.
"Projek berkenaan telah dikategorikan sebagai projek sakit kerana ia sepatutnya siap menjelang Julai atau Ogos tahun ini.
"Selain daripada projek itu, tiada yang telah dilaksanakan oleh PH," katanya.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam laporan Bernama semalam, memberitahu sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, lebih 10 peratus sekolah daif dapat diperbaiki dan dipulihkan.
"Setakat 2018, kita sudah boleh selesaikan 394 sekolah, itu telah melebihi sasaran 10 peratus sekolah daif sejak kita mengambil alih tampuk pemerintahan. Tahun hadapan, kita harap capai 50 peratus, melebihi tahun ini.
“Alhamdulillah, saya akan ikuti perkembangan ini secara dekat, saya akan pastikan para pelajar dapat belajar dengan selesa dan semua guru akan dapat mengajar dengan selesa. (Buat masa ini), kebanyakan pembaikpulihan sekolah daif adalah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya.
Manyin bagaimanapun berkata bahawa 10 peratus sekolah daif yang diselesaikan itu tidak ada satu yang di Sarawak.
"Tidak dinyatakan bahawa 10 peratus itu di Sarawak dan saya tidak tahu dimana sekolah yang dinyatakan.
"Mungkin 10 peratus itu adalah sekolah di Semenanjung tetapi bagi Sarawak saya amat jelas mengenainya," tegas beliau. -Utusan Borneo Online
No comments