Header Ads

Header ADS

Kebakaran Belukar, Kebakaran Di Kalimantan Punca Jerebu Di Sarawak


KUCHING - Kebakaran belukar antara faktor jerebu tempatan terutama di wilayah tengah Sarawak.

Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak Peter Sawal berkata, antara kawasan yang terjejas ialah Bahagian Sibu.

“Selain itu, ia juga disebabkan masyarakat tempatan menjalankan pembakaran untuk aktiviti pertanian.

“Bagaimanapun, terdapat banyak titik panas di Kalimantan yang mungkin menyebabkan jerebu rentas sempadan di sebelah selatan Sarawak untuk beberapa hari ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.


Namun demikian katanya, status terkini jerebu masih dalam keadaan sederhana iaitu di bawah paras 100 (kurang sihat).

Peter menegaskan, pejabat Wilayah NREB akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kes pembakaran haram.


Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Nor Hisham Mohamad ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya menerima 88 kes kebakaran terbuka.

Menurutnya, ia adalah kes yang dicatatkan dari 1 Ogos hingga semalam dan menyaksikan Sibu antara yang tertinggi.

“Kes semasa yang tinggi adalah di Bahagian Sibu iaitu sebanyak 26 kes kita terima.
“Selain itu kes juga kini adalah di Simunjan, Daro, Bintangor yang melibatkan kawasan besar,” katanya.

Tambah Nor Hisham, kebakaran terbuka di Daro melibatkan kawasan tanaman nanas, manakala dua lagi kawasan melibatkan penanaman sawit.

Sementara itu, menurut bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga jam 5 petang semalam menyaksikan Bahagian Mukah mencatatkan bacaan IPU tertinggi tetapi pada tahap sederhana, iaitu IPU 69.


Ia diikuti Sibu dengan IPU 61, Bintulu (58), ILP Miri (55), Samalaju (54), Kuching (53) serta Miri (51), kesemuanya pada tahap Sederhana.

Manakala, Samarahan mencatatkan IPU 50, Sri Aman (43), Sarikei (41), Limbang (32) dan Kapit (27), iaitu pada tahap Baik.

IPU antara 0 hingga 50 adalah Baik, 51 hingga 100 (Sederhana), 101 hingga 200 (Tidak Sihat), 201-300 (Sangat Tidak Sihat) dan 300 dan ke atas (Berbahaya). -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.