Header Ads

Header ADS

2 Adik Beradik Lelaki Rentung Di Kampung Hilir Lingga


KUCHING - Dua adik-beradik lelaki rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Hilir Lingga, Sri Aman sekitar jam 4.25 petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Nor Hisham Mohamad berkata, mangsa dikenali sebagai Zulkarnain Ajizul, 5, dan adiknya, Zulfadli Ajizul, 2.

Menurutnya, semasa kejadian, kedua-dua mangsa bersama ibu serta kakak mereka berada di rumah.

“Rumah tersebut dihuni oleh sebuah keluarga terdiri daripada enam orang, namun hanya dua adik-beradik malang terbabit bersama ibu serta kakak mereka berada di rumah ketika kebakaran berlaku.

“Difahamkan, dua adik-beradik terbabit ketika kejadian sedang tidur dan ibu mereka hanya sempat menyelamatkan anak perempuannya yang berusia lapan tahun sebelum api semakin marak,” katanya.

Nor Hisham memberitahu, operasi memadam kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada jam 6.25 petang selepas mayat dua adik- beradik tersebut berjaya ditemui.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.10 petang dan operasi mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa dilakukan oleh pasukan dengan pemugaran terlebih dahulu.

“Setelah kedua-dua mangsa dijumpai, pasukan bomba terus mengangkat menggunakan pengusung dan mayat mereka telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya pada jam 6.20 petang,” katanya.

Kebakaran itu telah memusnahkan keseluruhan rumah jenis tidak kekal satu tingkat tersebut.


Anggota dari Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak masih menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran tersebut. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.