Header Ads

Header ADS

Sarawak Tidak Sesekali Mengalah Dalam Mendapatkan Kembali Hak Sarawak - Abang Zohari


KUCHING - Sarawak tidak akan mengalah dan terus melawan balik sekiranya Petronas masih mahu membuat permohonan kes di mahkamah mengenai minyak dan gas.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak akan melawan balik pendakwaan walaupun di mahkamah mana sekalipun demi haknya terhadap sumber asli itu.

Menurut beliau, Sarawak tahu bahawa ia ada kuasa untuk mengawal selia terhadap aktiviti minyak dan gasnya walaupun terpaksa menghadapi dakwaan di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

“Namun kita melawan balik, kita ada peguam kita sendiri yang diketuai Sharifah Hasidah (Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) bersama Peguam Besar Negeri dan akhirnya kita menang di Mahkamah Persekutuan.

“Selepas kita menang, kita kata kita ada hak dan jika mereka hendak dakwa lagi, kita akan tetap lawan walau di mahkamah mana sekali pun kerana ini adalah hak kita untuk melakukan kawal selia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gawai Raya PBB Zon Kuching 2018 yang turut dihadiri Sharifah Hasidah yang juga pengerusi pengelola di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini, malam kelmarin.

Tambah Abang Johari, pada Selasa lepas, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) berjaya ditambah baik selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan pindaan ordinan berkenaan.

Katanya ia sekali gus memberikan Sarawak kuasa untuk mengawal selia minyak dan gas di negeri ini.

Dengan lulusnya ordinan itu kata Abang Johari, ia adalah untuk masa depan Sarawak dan demi pembangunan luar bandar di negeri ini. 

“Sebagai contoh, bekalan elektrik dan air kita masih banyak kawasan luar bandar yang belum menerima bekalan berkenaan.

“Masalah ini berlaku kerana sebelum ini kita terpaksa menunggu peruntukan daripada kerajaan pusat untuk pembiayaan.

“Namun kita telah memutuskan agar tidak perlu bergantung lagi kepada dana persekutuan tetapi menggunakan dana kita,” katanya.


Beliau berkata untuk mendapatkan dananya sendiri Sarawak perlu pendapatan yang kukuh khasnya daripada hasil minyak dan gasnya selepas terlaksananya OMO58.

Menurut beliau, maka itu amat perlu bagi Sarawak mempunyai pengurusannya sendiri.

Berhubung isu Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat Parlimen katanya, parti itu akan menyokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya ia berkaitan dengan kepentingan negara dan Sarawak.

“Jika ia berkaitan dengan kita, maka kita akan menyokong dan jika tidak ada kaitan, kita tidak menyokong.

“Beliau (Tun M) faham mengenai perkara ini dan saya telah mengadakan perjumpaan bersama pemimpin PH lain dan mereka juga faham,” katanya.


Majlis turut dihadiri Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof, Setiausaha Agung PBB Datuk Alexander Nanta Linggi, Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Ketua Pemuda Fazzrudin Abdul Rahman serta pemimpin tertinggi PBB lain. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.