Header Ads

Header ADS

Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram


MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari gergasi seberat 250 kilogram. 
Ramlee Jinal, 65, dari Kampung Kuala Sibuti, memberitahu beliau bersama dua rakan nelayannya, berjaya menangkap ikan pari gergasi berkenaan di sekitar perairan Kuala Niah pada petang kelmarin semasa turun ke laut seperti biasa.
“Tiba-tiba kami ternampak kilauan dalam pukat semasa hendak menaikkannya dan apabila sudah menghampiri bot, saya amat terkejut kerana mendapati ia adalah seekor ikan pari gergasi. 
“Saya dan dua rakan terpaksa memikirkan pelbagai cara untuk membawa pulang ikan ini ke darat kerana saiznya yang besar dan tidak dapat dimuatkan ke dalam bot saya yang kecil ini,” katanya yang merupakan nelayan pesisir pantai. 
Beliau dan dua rakannya terus menghentikan aktiviti menangkap ikan untuk memikirkan cara membawa pulang ikan tersebut.
Akhirnya mereka mengikat pukat di tepi bot untuk ditunda ke darat, kira-kira sejam perjalanan ke Kuala Sibuti dari lokasi mereka. 
Katanya, dengan muatan yang agak berat serta mengharungi beberapa kesukaran untuk menunda ikan sebesar itu yang masih terperangkap di dalam pukat, mereka bertiga akhirnya mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai di pantai. 
“Kami bernasib baik kerana ada kenderaan pikap digunakan untuk membawa pari ini ke pasar.” 
Beliau memberitahu, tanpa menunggu lama selepas mendaratkan pari gergasi berkenaan dan membawanya ke pasar, beliau didatangi pembeli yang bersedia untuk membayar pada harga RM1,000. 
“Ia adalah hari bertuah untuk kami bertiga,” katanya lagi.  
Menurut Ramlee, meskipun tangkapan ini amat mengejutkan dan menggembirakan beliau namun ini bukan kali pertama beliau menangkap ikan pari sebesar itu kerana pernah memperolehi tangkapan seperti itu pada awal tahun 70-an dulu. 
Beliau berkata, jika pada awal tahun 70-an dulu, menangkap ikan-ikan gergasi seperti itu tidak memberi nilai apa-apa kerana orang ramai tidak mahu membeli atau memakannya dan nelayan perlu melepaskannya kembali ke laut.
“Sebaliknya perkara itu berbeza pada zaman ini kerana ikan-ikan gergasi itu masih boleh dipasarkan malah mendapat permintaan yang baik daripada pihak restoran dan restoran makanan laut di sekitar Miri,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.