Header Ads

Header ADS

Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak Dan Gas (Pindaan) 2018 Diluluskan


KUCHING - Pindaan Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak dan Gas (Pindaan) 2018 yang dibaca buat kali ketiga di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diluluskan dengan majoriti ahli Dewan menyokong di sini, semalam.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pindaan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) itu akan mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan yang lebih berkesan untuk sektor huluan dan hiliran dengan penguatkuasaan Ordinan Pembahagian Gas 2016. 
Pada masa sama, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Alam Sekitar Kedua berkata, Kerajaan Negeri Sarawak bersedia untuk terlibat secara konstruktif dengan Petronas untuk mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan bagi penerokaan, prospek dan perlombongan minyak dan gas di Sarawak. 
Menurutnya, rangka kerja pengawalseliaantersebut dijangka tidak akan menjejaskan operasi dan pelaburan Petronas di Sarawak. Bagaimanapun katanya, Petronas mesti menunjukkan kesanggupannya untuk menghormati dan mematuhi undang-undang Sarawak. 
Selain itu beliau berkata, Petronas juga perlu menunjukkan komitmennya untuk memenuhi aspirasi Sarawak mendapatkan bahagian lebih adil daripada eksploitasi minyak dan gas serta penyertaan lebih ramai dan lebih aktif oleh syarikat Sarawak dalam sektor huluan dan hiliran industri tersebut di Sarawak. 
Awang Tengah merangkap Menteri Pembangunan Industri dan Usahawan turut mendedahkan bahawa Sarawak adalah pengeluar utama gas asli dan pengeksport gas asli cecair (LNG) di Malaysia. 
Berdasarkan statistik yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (Buletin Statistik Bulanan, April 2018), jumlah LNG yang dieksport dari Sarawak ialah 27 juta tan metrik dengan jumlah nilai kasar sebanyak RM41.1 bilion bagi 2017. 
Manakala, jumlah petroleum mentah yang dieksport dari Sarawak untuk 2017 adalah 5,353,000 tan metrik dengan nilai pasaran RM9.4 bilion. 
Menjelas lanjut mengenai OMO 1958, Awang Tengah berkata, ia juga mengambil kira takrif ‘Tanah Negeri’ dalam Seksyen 2 Kanun Tanah termasuk tepi pantai dan laut di dalam sempadan Sarawak seperti yang dipanjangkan oleh Majlis Perintah Sarawak (Perubahan Sempadan) 1954. 
“Rang undang-undang ini dibentangkan untuk mengemas kini beberapa peruntukan dalam OMO dan membawa ordinan ini selari dengan amalan terkini dan, operasi dalam sektor huluan dalam industri minyak dan gas,” ujarnya. 
Katanya, OMO telah diluluskan oleh Majlis Negeri pada 1958 dan dikuat kuasa pada 9 Jun 1958. 
“Undang-undang ini diluluskan sebelum Hari Malaysia, dan menurut Seksyen 73 Akta Malaysia 1963, OMO terus berkuat kuasa di Sarawak dan kekal sebagai undang-undang negeri, menjadi undang-undang yang boleh diluluskan oleh badan perundangan negeri oleh sebab Perkara 2 (c) Senarai II (Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. 
Justeru ujarnya, isu OMO 1958 bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) tidak wujud seperti didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen ketika membahas RUU itu. 
“PDA di bawah Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perkara 75 dibincangkan, persoalannya ialah sama ada Parlimen mempunyai keupayaan membuat undang-undang persekutuan seperti itu. 
“Perkara ini sentiasa menjadi pendirian kerajaan negeri (Sarawak) kerana perkataan 8 (j) Jadual Kesembilan (Senarai Persekutuan) dibaca terhadap Perkara 2 (c) Senarai Negeri. 

“Mana-mana undang-undang dibuat oleh Parlimen mengenai pembangunan petroleum harus dibaca tertakluk kepada kecekapan Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai permit dan lesen untuk membuat prospek melombong, pajakan dan sijil perlombongan,” jelasnya. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.