Header Ads

Header ADS

GPS tiada hubungan dengan mana-mana parti di Semenanjung termasuk Perikatan Nasional & BERSATU


Pengumuman Ali Biju sebagai calon di bawah Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di Parlimen Saratok pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini tidak mengejutkan, tetapi yang mengejutkan apabila beliau memberitahu PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan parti seperjuangan untuk Kerajaan Persekutuan buat masa sekarang.


Kenyataan Ali Biju yang merupakan Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas dinamakan sebagai calon PN itu seolah-olah cuba mengaburi pengundi di Parlimen Saratok serta menidakkan keputusannya bertanding menentang GPS pada PRU-15 ini. 


Beliau yang terkenal dengan slogan ‘Enda Bula Enda Menang’ itu  https://dayakdaily.com/enda-bula-enda-menang-hanyalah-gurauan-kata-ali-biju/ sebelum ini pernah menentang GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), tetapi terpaksa menarik diri selepas keputusannya bertanding itu mencabuli kata-kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan sokongan kepada GPS. 


Diimbau PRN-12 lepas, seharusnya Ali Biju tidak mengemukakan pencalonan, tetapi tetap juga mencalonkan diri dan menentang calon dari Parti Demokratik Progresif (PDP) - GPS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian. 


Namun, selepas beberapa hari dan mendapat perhatian daripada Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selepas melancarkan manifesto, baharulah keesokannya harinya Ali Biju membuat sidang media untuk menarik diri daripada bertanding PRN-12 Sarawak. 


Itu pun selepas Pengerusi GPS menzahirkan rasa kecewanya  https://suarasarawak.my/2021/12/prn-sarawak-abang-johari-kecewa-ali-biju-bertanding-di-krian/ dengan tindakan Ali Biju yang bukan sahaja melanggar persetujuan BERSATU dalam PRN-12 Sarawak, tetapi juga melanggar arahan Presiden BERSATU sendiri. 


Itu yang berlaku pada PRN-12, tetapi tidak pada PRU-15 ini. Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub membubarkan Parlimen pada 10 Oktober 2022, pertalian mahupun hubungan di antara parti dalam kabinet telah pun tiada. 


Malah, kerajaan yang ada ketika ini hanyalah bersifar sementara dengan setiap menteri mahupun timbalan tiada lagi kuasa selain Perdana Menteri. 


Selepas pembubaran Parlimen itu juga, GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP berdiri sendiri tanpa bekerjasama dengan mana-mana gabungan atau parti politik. 


Mengenai sikap Ali Biju yang menggunakan taktik ‘pembulak’ bagi meraih undi dan perkhidmatannya sebagai wakil rakyat bukanlah sesuatu yang boleh diterima rakyat. Bercakap di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dengan menyebut perkataan ‘Enda Bula Enda Menang’ dilihat sebagai sifat peribadinya dan apa yang telah dibuatnya sebelum ini di DUN Krian. 


Keputusan GPS bertanding di 31 kerusi Parlimen di Sarawak adalah demi untuk Suara Rakyat Sarawak dalam memperjuang dan mempertahankan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963.


Justeru, tiada lagi alasan untuk pengundi-pengundi di DUN Krian khasnya dan Parlimen Saratok terus menolak Ali Biju dan Perikatan Nasional pada PRU-15 akan datang. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.