Header Ads

Header ADS

Sarawak Mempunyai Hak Keluarkan Lesen Minyak Dan Gasnya Sendiri


KUCHING - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa mengikut perlembagaan, Sarawak mempunyai hak untuk mengeluarkan lesen berhubung sumber minyak dan gasnya.

Malah, beliau memberitahu, pihak berkuasa di Putrajaya juga mengetahui hak Sarawak yang sebenarnya.

“Kita mempunyai hak mengeluarkan lesen manakala Petronas adalah bahagian pembangunan,” katanya sambil merujuk kepada peruntukan khusus dalam Perlembagaan Persekutuan.

Abang Johari berkata demikian dalam ucapannya kepada rakyat Sarawak yang tinggal dan belajar di United Kingdom (UK) semasa majlis makan malam anjuran Yayasan Sarawak di Rumah Yayasan Sarawak di Bondesbury Park baru-baru ini.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak menerusi syarikat minyak dan gas negeri, Petros bekerjasama dengan Petronas untuk memastikan Sarawak mendapat manfaat daripada sumber minyak dan gas di Sarawak.

Beliau berkata, walaupun hak memberi lesen tidak pernah dikuatkuasakan sejak 40 tahun lalu mungkin kerana terlepas pandang, Kerajaan Sarawak tidak akan berkompromi mengenai apa yang dimiliki Sarawak di bawah undang-undang.

Ketua Menteri dan wakil delegasinya berada di ibu negara Britain itu untuk lawatan sambil belajar selama dua minggu ke UK, Amerika Syarikat dan Kanada sebelum lawatan terakhir ke Dubai untuk berjumpa dengan pelabur berpotensi.

Mengenai hubungan di antara Kerajaan Sarawak dengan kerajaan persekutuan, beliau menganggapnya sebagai erat kerana kedua-duanya bekerja demi kepentingan rakyat.

Mengenai acara pada malam itu, beliau menyuarakan kegembiraannya kerana dapat berjumpa dengan sebahagian pelajar Sarawak di UK yang beliau anggap sebagai wajah masa depan Sarawak dalam usaha mendigitalkan ekonomi negeri.

Para pelajar kemudian mengadakan interaksi tidak rasmi dengan Ketua Menteri dan menunjukkan minat mendalam kepada pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Sarawak untuk mengubah ekonomi daripada ekonomi konvensional kepada digital.

Abang Johari memberitahu, dalam rangka pertama lawatan ini, beliau melawat Universiti London dan Universiti Oxford untuk mengkaji kemungkinan kerjasama yang dapat membuka jalan bagi pelajar Sarawak diberi tempat di universiti tersebut dalam pengajian termasuk kajian kemanusiaan.

Tambahnya, dalam rangka kedua jelajah ke AS, beliau akan melawat Universiti Stanford untuk meninjau kemudahan dan aktiviti penyelidikan di universiti tersebut bagi menilai prospek kolaboratif sama dengan universiti itu dan universiti lain di dalam Silicon Valley.

Beliau menjelaskan, Sarawak akan terus menghantar pelajar ke seberang laut untuk melanjutkan pelajaran, khususnya dalam disiplin baharu, yang tidak ada di dalam negara seperti keselamatan siber, pengaturcaraan dan sains data.

“Rakyat Sarawak perlu mendapatkan pengetahuan baharu untuk membiasakan diri dengan ekosistem baharu dan trend pembangunan di seluruh dunia yang berasaskan teknologi baharu,” ujarnya.

Abang Johari dan wakil delegasi yang terdiri daripada pegawai Kerajaan Sarawak akan berlepas ke San Francisco untuk meneruskan rangka kedua lawatan sambil belajar itu. -Utusan Borneo

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.