Header Ads

Header ADS

Sikap Tidak Amanah Peminjam PTPTN Sebabkan Jumlah Hutang PTPTN Meningkat RM36 Bilion


KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ramai dalam kalangan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak amanah menyebabkan jumlah hutang tabung itu meningkat kepada RM36 bilion.
Perdana Menteri berkata, tindakan yang tidak amanah itu menyebabkan orang lain sukar mendapatkan pinjaman untuk membiayai pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, mereka yang meminjam itu bukannya tidak mampu membayar tetapi sengaja enggan membayar balik pinjaman.
"RM36 bilion hutang tidak dibayar balik kepada PTPTN ini...saya malu tetapi mereka (peminjam) tidak.
"Ini adalah sikap yang biasa bagi sesetengah bangsa... bukannya mereka tidak mampu, dengan gaji RM2,000 boleh saja mereka membayar balik RM100 sebulan tetapi mereka tidak berbuat demikian," katanya ketika menyampaikan syarahan perdana sempena Hari Jepun 2018 Malaysia-Japan International Institute if Technology (MJIIT) dan pelancaran pembukaan Residensi Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Wahid Omar.
Terdahulu dalam syarahan itu, beliau mengingatkan tiga sistem nilai perlu ada dalam kalangan masyarakat jika mahu berjaya seperti Jepun.
Katanya, tiga nilai itu adalah rasa malu, rajin atau kerja keras dan beramanah.
"Ada banyak lagi sistem nilai yang dimiliki masyarakat Jepun yang boleh diamalkan dan dijadikan budaya masyarakat.
"Tiga nilai yang utama itu penting jika ingin maju supaya dapat mengeluarkan penghasilan yang lebih berkualiti," katanya.
Sikap malu, katanya sama seperti konsep harakiri tetapi bukan bermaksud membunuh diri.
"Harakiri diterjemahkan sebagai malu apabila gagal melaksanakan tanggungjawab seseorang akan merasa mahu serta bertanggungjawab memperbetul atau meningkatkan lagi apa-apa penghasilan yang dibuat," katanya.
Beliau berkata, sikap rajin akan menjamin seseorang itu berjaya.
"Jika kita malas, tidak peduli sama ada kerja siap atau tidak, kita tidak berjaya. Kita kena rajin jika ingin berjaya lebih-lebih lagi kalau tahu diri itu tidak bijak," katanya. -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.