Header Ads

Header ADS

Usaha Kembalikan Hak Sarawak Dan Sabah Perlu Ikhlas Bukan Sekadar Retorik


KUCHING - Usaha mengembalikan status dan hak kesamaan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah dalam pembentukan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dalam kaedah lebih praktikal dan bukan semata-mata berupa retorik serta manis di bibir sahaja.

Perkara itu ditegaskan Ketua Publisiti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Perbincangan MA63 dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau di Miri baru-baru ini.

Menurutnya ia jangan seperti melepaskan batuk di tangga untuk memuaskan hati pemimpin dan rakyat di kedua-dua negeri tanpa ada perubahan dari segi polisi kerajaan yang mencerminkan keikhlasan dalam erti sebenarnya MA63.

“Pertamanya, kerajaan pusat, dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad mesti bertindak lanjut dengan membentangkan satu usul Parlimen untuk mengetepikan Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan Sabah, Sarawak sebagai sebuah negeri ke-12 dan ke-13 sebagai mana negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu, seterusnya mengembalikan peruntukan asal.

“Justeru, pelaksanaan dasar dan pentadbiran mesti lebih jelas dan telus di mana setiap warganya diberi layanan saksama dari segi peluang dan ruang dalam sektor awam, pendidikan, perusahaan dan penyertaan peluang ekonomi dari luar dan dalam untuk diagihkan di kedua-dua negeri tersebut.

“Contohnya, polisi kabotaj dan telekomunikasi sejak dulu begitu mendiskriminasikan dan masih dalam rupa bentuk ‘kolonisasi’,” katanya.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang menegaskan dalam dasar pentadbiran awam, ‘Borneonisasi’ mesti dipraktikkan seperti termaktub dalam MA63.

Ia ujarnya, melibatkan setiap kementerian, jabatan serta agensi kerajaan diberi keutamaan kepada anak-anak Sabah dan Sarawak yang berkelayakan bukan seperti yang diamalkan di mana masih lagi terdapat jawatan-jawatan ketua penjawat awam negeri didominasi oleh mereka yang berasal dari Semenanjung Malaysia.

“Kini kita mempunyai sebilangan besar penjawat awam yang berkelayakan tinggi dan berupaya dalam banyak bidang,” tegas Idris dengan nada yang kecewa. Beliau menambah, dalam membentuk dasar-dasar negara, penglibatan Sabah dan Sarawak begitu penting.

Justeru katanya, kesaksamaan atau ‘equitability’ pengagihan kerusi Parlimen hendaklah satu pertiga daripada keseluruhannya.

“Pada 1963, Sabah dan Sarawak hanya diagihkan 40 kerusi daripada 159 kerusi Parlimen atau 25.25 peratus.


“Tetapi apabila Singapura keluar pada 1965, adakah Sabah Sarawak sepatutnya mendapat bahagian yang adil?

“Contohnya kini daripada 222 keseluruhan kerusi Parlimen, Sabah dan Sarawak sepatutnya diberikan 74 kerusi Parlimen dan bukan hanya 56 kerusi (Sabah 25, Sarawak 31),” katanya.

Menurutnya kerana pembahagian yang begitu ketara tidak adil, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai suara yang besar yang boleh mengubah nasib rakyat kedua- dua negeri dalam semua aspek sosioekonomi, pembangunan khususnya luar bandar, pendidikan, kemudahan awam yang baik dan moden.

“Kita tidak mempunyai jumlah dan tahap perwakilan yang sewajarnya dan suara kita telah diperkecilkan dari segi bilangan dan keutamaan dalam apa sahaja kita perlukan sejak pembentukan Malaysia.

“Kita masih ingat kata keramat Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan, tanpa Sabah dan Sarawak, tiada Malaysia, “ ujarnya.

Idris berkata semua tahu tanpa minyak dan gas Sarawak, seluruh Malaysia tidak dapat bertahan dalam senario global yang mencabar dari segi ekonomi.

“Mohon maaf jika saya berkata agak kasar tetapi saya kena berkata yang benar,” tambahnya.

Mengenai protokol yang betul berkaitan Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, beliau berkata kedua-dua ketua menteri berkenaan sebagai ketua politik rakyat di peringkat negeri, tidak pernah diberi status dan protokol betul atau tepat oleh agensi kerajaan pusat dalam upacara rasmi.

“Kita menganggap Ketua Menteri kita sebagai mewakili kebanggaan dan penghormatan kita sebagai pemimpin utama dan pancaran solidariti politik di sebuah negeri yang berbilang bangsa dan agama.

“Malah mereka masih dikategorikan sebagai ketua eksekutif di negeri-negeri kecil di Semenanjung seperti Perlis, Melaka, Kedah atau Pulau Pinang.

“Negeri negeri tersebut mempunyai tidak lebih daripada lima kerusi Parlimen! Kita tidak pernah mempersoalkannya sebab kita akur dan setia pada disiplin parti- parti dalam komponen dan sentiasa akur kepada parti ‘Whip’,” tegas beliau.

Menurut Idris, Ketua Menteri Sabah dan Sarawak harus diberi sekurang-kurangnya penghormatan serta protokol sama diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, jika tidak lebih tinggi.

Ini selanjutnya, tegas beliau akan mencerminkan status Sarawak dan Sabah seperti dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang disertakan dan Perkara 18/20 yang perlu dibaca bersama Perlembagaan Malaysia.

Lagipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terdiri daripada sekurang-kurangnya 82 kerusi dan ia berdasarkan kepada Sistem Kabinet model London dan bukan dipraktikkan di negeri-negeri di Semenanjung yang menggunakan sistem exco, tambahnya.

“Kita menginginkan pemimpin kita iaitu Ketua Menteri (kita) diberi penghormatan dan protokol yang sebenar sebagai ketua pegawai eksekutif sebuah kawasan autonomi dan bukan sebuah negeri dalam Malaysia.” tegasnya. -Utusan Borneo

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.