Header Ads

Header ADS

GPS Sokong Dasar Baharu Kerajaan Persekutuan Jika Membawa Manfaat Kepada Sarawak Dan Rakyatnya


MIRI - Kesemua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa bersikap terbuka dalam menyokong sebarang dasar baharu pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan (PH), asalnya ia membawa manfaat kepada negeri ini dan rakyatnya.
Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, berkata semua ahli parti komponen GPS, khususnya di peringkat akar umbi sudah menyatakan sokongan kepada dasar kepemimpinan kerajaan baharu yang mampu menjamin masa depan `Anak Sarawak’.
Beliau menjelaskan sokongan itu termasuk usaha menghidupkan semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khusus dalam mengembalikan semula hak dan kepentingan Sarawak, begitu juga Sabah sebagai wilayah yang bersama membentuk negara ini.
“Sebagai Ahli Parlimen GPS, saya tidak ada masalah untuk menyokong cadangan mengembalikan MA63. Saya sedia memberi undi dalam dewan sekiranya terdapat keperluan untuk meminda Perlembagaan bagi mengembalikan hak Sabah dan Sarawak kepada status wilayah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, GPS di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, juga sudah menjelaskan dari awal bahawa semua wakil rakyatnya mengambil pendirian mesra terhadap Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita bersedia menyokong apa sahaja dasar atau usaha dilaksanakan kepemimpinan Pusat yang memberikan kebaikan untuk Sarawak. Sememangnya menjadi agenda utama GPS untuk berjuang mendapatkan kembali hak dan keistimewaan Sarawak yang terhakis sebelum ini.
“Yang pasti, Sarawak memerlukan sokongan Kerajaan Pusat untuk memajukan kawasan pedalaman dan luar bandar yang masih jauh ketinggalan dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, air bersih dan bekalan elektrik,” katanya. -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.