Header Ads

Header ADS

Kerajaan Sarawak Akan Terus Laksana Pembangunan Di Sarawak



KUCHING - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak sedia ada akan terus melaksanakan program pembangunan di negeri ini.

Jaminan itu dinyatakan beliau pada perutusan sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2018.

“Saya percaya bahawa rakyat Sarawak yang lahir sebelum tahun 1963 yang masih bersama kita boleh menjadi saksi kepada tahap-tahap pembangunan di negeri Sarawak yang mengubah wajahnya daripada sebuah negeri yang serba kekurangan sehingga menjadi negeri yang membangun dengan pesat lagi stabil daripada aspek sosial dan politiknya.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak sedia ada akan terus melaksanakan program-program pembangunan supaya rakyat dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik, khususnya di luar bandar,” katanya.

Dalam perutusannya, Abang Johari mewakili semua rakyat Sarawak turut menerima baik keputusan kerajaan persekutuan akan terus melaksanakan projek infrastruktur di Sarawak khasnya projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Projek itu katanya, diharap dapat disiapkan mengikut jadual untuk memudahkan pergerakan rakyat di samping memangkin pembukaan lebih banyak kawasan untuk pembangunan di sepanjang jajarannya.

Dalam pada itu, sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak tahun ini diraikan secara sederhana pada Majlis Jamuan Malam di Dewan Santapan, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kelmarin.

Tahun ini, Kuching diberi penghormatan menjadi tuan rumah sambutan bagi meraikan dan memperingati sejarah pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Majlis sederhana namun penuh pengertian malam kelmarin dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Ketua Menteri serta isteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang turut hadir pada majlis tersebut bersama barisan menteri-menteri kabinet negeri, pemimpin-pemimpin negeri dan masyarakat, ketua-ketua jabatan serta 500 tetamu lain.

Acara pada malam itu dimulakan dengan persembahaan pembukaan yang menampilkan sketsa pendek mengenai sejarah Hari Malaysia diikuti simbolik pelancaran oleh Tun Taib dan pemotongan kek sambutan. -Utusan Borneo

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.