Header Ads

Header ADS

Tarikh 31 Ogos Tiada Makna Kepada Rakyat Di Negeri Sarawak, Sabah


KUCHING - Profesor Politik dan Kerajaan, Univeristi Putra Malaysia (UPM) Dr Jayum Jawan berkata, tarikh 31 Ogos tidak mempunyai makna bagi rakyat Sarawak dan Sabah.

Beliau berkata, 31 Ogos merupakan tarikh negeri-negeri dalam bekas Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaannya pada 1957.

Tambahnya, sambutan Hari Kemerdekaan pada tarikh itu sangat penting bagi rakyat Malaysia yang merupakan penduduk di 11 negeri di Semenanjung Malaysia.

“Bagi rakyat Sarawak dan Sabah, tarikh itu tidak mempunyai makna. Tarikh yang lebih penting untuk diraikan oleh rakyat Sarawak serta Sabah dan 11 negeri di Semenanjung Malaysia adalah Hari Malaysia, jatuh pada 16 September.

“16 September menandakan pembentukan Persekutuan Malaysia dengan gabungan bekas Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak termasuk Singapura tetapi menarik diri pada 1965,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Justeru Jayum yang berasal dari Sibu berkata, sejarah Sarawak dan Sabah berkaitan kemerdekaan mesti diperbetulkan kerana menurutnya Sarawak tidak pernah dijajah British.

Beliau berkata, James Brooke yang memerintah Sarawak tidak menakluk negeri ini tetapi ditabalkan sebagai pemerintah oleh pemerintah tempatan dan Kesultanan Brunei.

“Brooke tidak datang dengan senjata dan menyerang Sarawak. Sarawak menikmati perlindungan British menerusi inisiatif Brooke.

“Sarawak dijajah oleh kerajaan Jepun tidak lama, antara 1941 dan 1945. Dan jika sejarah seharusnya bercakap mengenai kemerdekaan Sarawak, tarikhnya mesti pada tahun 1945, apabila kerajaan dipulangkan kepada Sarawak selepas menyerah kalah ketika itu dan juga berakhirnya Perang Dunia Kedua,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan tanggal 22 Julai yang ditetapkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak sebenarnya apabila Sarawak berkerajaan sendiri pada 1963 dengan jumlah pegawai kolonial berkurangan.

Bagaimanapun beliau menegaskan perkara itu masih boleh dipersoalkan kerana kabinet pertama Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama (1963-1966) masih terdapat ekspatriat British dalam kabinet sebagai ‘ex-officio’ berdasarkan kedudukan mereka dalam perkhidmatan awam negeri.

“Maka, untuk menjadi lebih bermakna, Hari Kemerdekaan untuk Sarawak (dan Sabah, jika negeri mahu menetapkan satu hari untuk hari kemerdekaan) perlu dikaji semula serta diteliti lebih mendalam.

“Ini penting untuk menjadikan hari (kemerdekaan) ini benar-benar bermakna dan selaras dengan fakta-fakta sejarah,” ujarnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.