Header Ads

Header ADS

Wakil Rakyat GPS Digesa Dengar Denyut Nadi Rakyat - Douglas Uggah


BETONG - Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) digesa untuk terus mengamalkan budaya turun padang bagi mendekati rakyat dalam usaha mendengar denyut nadi rakyat.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, arahan itu telah dikeluarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk melihat dan mendengar keperluan atau permasalahan di kawasan masing-masing.

"Kenapa turun padang? Kita mesti mendengar denyut nadi rakyat. Kita perlu mengetahui masalah-masalah dihadapi rakyat," katanya pada majlis sempena Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak di Masjid Jamek di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Betong, Robert Lawson Chuat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu; Penasihat Penyelidikan Sains Negeri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Residen Bahagian Betong, Friday Belik, dan Pegawai Daerah Betong, Sofhi Jebal.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih dan jalan raya di Betong adalah menjadi keutamaan wakil rakyat di kawasan tersebut.

Sementara kemudahan bertambah baik dari semasa ke semasa katanya, isu lain seperti masalah sosio ekonomi, kemiskinan juga akan turut diberi tumpuan, selain bantuan perumahan untuk golongan miskin tegar, serta program menjana pendapatan.

Ketua Menteri katanya, merupakan pemimpin yang mengutamakan rakyat dan sentiasa mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat khususnya dalam menangani masalah bekalan air, perumahan, isu pendapatan rendah, pengangguran, bagi menjadikan Sarawak lebih baik untuk semua orang.

Berhubung permohonan untuk mewujudkan laluan pejalan kaki dari Kampung Hulu ke sekolah berhampiran dalam memastikan keselamatan para pelajar dari risiko trafik jalan raya, Uggah meluluskan peruntukan RM100,000.

Manakala mengenai permohonan untuk kerja-kerja tanah 18 lot rumah dan perumahan bagi golongan miskin tegar, katanya Pejabat Daerah akan menilai kos sebelum mendapat kelulusan kerajaan.

Uggah turut meluluskan RM100,000 untuk membina jalan pintas dari perkampungan Melayu ke tanah perkuburan mereka, merentasi tanah milik komuniti Iban, dan jumlah pampasan kepada pemilik tanah akan ditentukan oleh Pejabat Daerah.

Pada majlis itu juga, Uggah turut menyerahkan bantuan kerajaan negeri kepada surau dan tadika Kemas sebanyak RM70,000 dan RM20,000 lagi untuk persatuan pesara menjalankan aktiviti-aktiviti mereka.

Terdahulu, Rentap berkata, beliau akan menyerahkan surat rasmi kepada Ketua Menteri di sebuah majlis di Debak hari ini untuk memohon tindakan segera dalam menggantikan paip lama di Betong yang dikenalpasti sebagai punca masalah air di kawasan tersebut.

"Saya akan menyediakan surat malam ini dan menyerahkan kepada Ketua Menteri pagi esok," katanya sebagai maklum balas terhadap penduduk Betong menerusi pemimpin masyarakatnya, Penghulu Abang Zawawie Abang Rajit. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.