SWP Kekal Sebagai Sebuah Parti Bebas
SIBU - Parti Pekerja Sarawak (SWP) akan kekal sebagai sebuah parti bebas yang memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat di negeri ini.
Presidennya Munan Laja berkata, buat masa ini mereka belum membuat sebarang keputusan mengenai hala tuju parti sama ada berniat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.
"SWP tidak mempunyai sebarang 'komunikasi' dengan PH untuk membincangkan perkara tersebut (menyertai PH) buat masa ini.
"Kami tidak pernah bertemu apatah lagi berbincang mengenainya. Justeru, kita tidak boleh memberitahu sama ada kita mempunyai niat atau tidak untuk menyertai PH," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi SWP di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden SWP, Engga Unchat.
SWP pada mesyuarat tersebut turut menerima sebanyak 846 permohonan ahli baharu, dari Song, Bintangor dan Sibu.
Sehingga kini, SWP mempunyai sebanyak 30,856 ahli di seluruh negeri ini.
Pada mesyuarat itu, SWP memilih Wong Hien Ping dari Kakus, John Pagang (Julau), Joseph Agong Buda (Song), Dennis Patrick (Julau) dan Manja Anggang (Kakus) sebagai ahli majlis tertinggi parti yang baharu.
No comments