Header Ads

Header ADS

Penduduk Kampung Petag Harap Pengukuran Perimeter Tanah NCR Diteruskan Selepas Khabar Angin Akan Dihentikan


KUCHING - Penduduk Kampung Petag di Siburan dekat sini berharap pengukuran perimeter ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kampung itu akan diteruskan.

Pengerusi Biro Tanah Hall Jamun berkata, penduduk bimbang akan khabar angin bahawa kerja-kerja pengukuran oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) di kampung itu akan dihentikan susulan kekurangan dana.

Menurut Hall yang mewakili penduduk, kerja-kerja mengukur perimeter di kampung itu telah bermula pada 19 September tahun lepas di bawah Seksyen 18, Kanun Tanah Sarawak untuk memudahkan pengeluaran surat tanah NCR kepada penuntutnya.

Jelasnya, banyak tanah NCR di kampung itu telah didokumentasikan di bawah Inisiatif Dokumentasi Tanah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan penduduk menunggu pengukuran oleh JTS.

“Sebahagian daripada tanah NCR yang dituntut oleh penduduk kampung adalah di bahagian Kuching dan sebahagian lagi bahagian Serian.

“Tanah yang diukur di bahagian Kuching kini 80 peratus siap sejak pengukuran perimeter dimulakan, manakala banyak tanah di bawah bahagian Serian masih diukur.

“Kami berterima kasih kepada jabatan yang telah memulakan pengukuran perimeter di kampung kami dan kami berharap mereka akan meneruskannya,” kata Hall kepada media kelmarin.

Hall turut memaklumkan penduduk kampung telah bekerjasama dengan kakitangan JTS sepanjang kerja-kerja pengukuran perimeter dilakukan. “Kami bersyukur kerana mereka berada di sini untuk mengukur tanah NCR kami dan kami akan terus menyediakan bantuan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Kampung Pichin di Serian memohon JTS untuk meningkatkan bilangan pasukan juruukur dalam pengukuran perimeter tanah NCR di kampung tersebut.

Ketua Kampung Rioi Lagit berkata, penduduk bimbang pengukuran perimeter akan mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana hanya sebuah pasukan terlibat buat masa ini.

“Apabila pengukuran perimeter bermula tahun lepas, ada tiga pasukan tetapi sekarang hanya satu pasukan sahaja.

“Kami gembira JTS kini melaksanakan pengukuran perimeter tetapi kami berharap lebih ramai pasukan juruukur kerana terdapat banyak lot yang perlu diukur,” kata Rioi.

Sama seperti Kampung Petag, tanah NCR di Kampung Pichin juga sudah didokumentasikan oleh DBNA di bawah Inisiatif Dokumentasi Tanah.

Sementara itu, DBNA dalam kenyataan berkata Inisiatif Dokumentasi Tanah bermula pada 2008 dan antara matlamatnya adalah untuk membantu mempercepatkan pengukuran tanah NCR dalam kawasan Bidayuh.

Sehingga hari ini, dokumentasi tanah telah siap di lebih 60 kampung dan dokumentasi masih diteruskan di lebih 100 kampung. -Utusan Borneo Online



No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.