Urus Bekalan Tenaga Dengan Bijak - Abang Zohari
KUCHING - Sarawak boleh menjadi penyedia bekalan tenaga bagi pusat data jika sumber tenaga yang dimiliki diurus dengan bijaksana, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, dengan memiliki keupayaan tersebut, maka ia akan dapat meningkatkan pendapatan bagi menjana pertumbuhan negeri pada masa depan.
“Jepun, Hong Kong dan Singapura ada masalah dari segi bekalan tenaga untuk mereka menyediakan pusat data.
“Jika kita dapat menyediakan tenaga murah dan konsisten, kita dapat menyediakan pusat data di tempat sendiri dan apabila itu dilaksanakan, pusat data tempatan akan menjadi sumber kekayaan yang dapat menggerakkan ekonomi.
“Itulah sebabnya kenapa tenaga amat penting dalam gelombang baharu teknologi perniagaan di seluruh dunia,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Sarawak Energy di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Sharbini Suhaili.
Menurut Abang Johari, Sarawak menerusi Sarawak Energy khasnya sudah mempunyai kepakaran dalam cara mengoptimumkan sumber tenaga.
“Kita cuma memerlukan kreativiti dan visi mengenai perkara yang perlu dibuat pada masa depan.
“Masa depan kita cerah selagi kita dapat mencuba teknologi baharu dan juga perniagaan baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata, Sarawak Energy menerusi kerjasama dengan Kementerian Utiliti kini semakin hampir mencapai matlamat liputan elektrik 100 peratus menjelang 2025.
“Setakat ini, kita sudah mencapai 95 peratus liputan elektrik untuk seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau menambah, liputan elektrik luar bandar telah meningkat daripada 87 peratus pada 2016 kepada 91 peratus pada hujung 2017. -Utusan Borneo Online
|
No comments