Header Ads

Header ADS

Dasar Kerajaan GPS Akan Terus Beri Perhatian Kepada Keperluan Masyarakat Luar Bandar


SEBUYAU - Dasar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberi perhatian kepada keperluan kemudahan asas rakyat luar bandar.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata antara usaha kerajaan GPS ialah melengkapkan pembinaan jalan pesisir Sarawak termasuk membina semua jambatan di sepanjang laluan jalan berkenaan, membina jalan terputus (missing link) dan menaik taraf jalan pesisir sedia ada dari selatan hingga utara negeri ini.

Menurutnya jambatan-jambatan berkenaan ialah Jambatan Rambungan, Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Saribas, Jambatan Krian, Jambatan Batang Paloh, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Igan dan Jambatan Batang Lupar.

Katanya semua jambatan itu dibina menggunakan dana negeri kecuali Jambatan Rambungan dan Jambatan Batang Lupar dibina secara perkongsian peruntukan 50 peratus kerajaan negeri dan 50 peratus lagi kerajaan persekutuan.

“Pembinaan Jambatan Igan yang diluluskan kerajaan pusat sebelum ini, kita berharap kerajaan pusat iaitu kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan pembinaannya termasuk Jambatan Rambungan dan Jambatan Batang Lupar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gawai Raya di Kampung Sungai Ladong di sini, semalam.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata penubuhan GPS terdiri daripada parti politik Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) amat relevan.

“GPS yang diwakili orang Sarawak, cukup faham tentang latar belakang dan keperluan rakyat Sarawak.

“Sudah semestinya penubuhan GPS ini amat relevan sekali kerana ia berpangkalan di Sarawak, akan mempunyai ‘political autonomy’ untuk mempunyai dasar mempertahankan hak-hak rakyat serta negeri ini,” tegasnya.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan GPS Sarawak yang dahulunya Barisan Nasional (BN) Sarawak tetap berterima kasih kepada BN. 

“Tetapi kerjasama ini biarlah memberi manfaat dan faedah kepada rakyat dan negeri Sarawak. GPS ada komitmen 100 peratus.

“Hanya kita orang Sarawak yang lebih faham dan tahu keperluan rakyat dan negeri. Kita orang Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum, begitu juga dalam GPS,” katanya.

Tambahnya kerajaan GPS selaku gabungan parti-parti politik Sarawak boleh menjaga Sarawak dengan baik demi masa depan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata masyarakat pelbagai kaum di negeri ini perlu terus bekerjasama mempertahankan mempertahankan hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Seterusnya menuntut hak-hak Sarawak yang terhakis sama ada secara sengaja atau tidak sengaja dan secara sedar atau tidak disedari sejak penubuhan negara Malaysia pada 16 September 1963.

“Landasan terbaik untuk mempertahan dan menuntut hak-hak Sarawak yang terhakis adalah melalui kerajaan yang diwakili parti-parti politik berasal dari Sarawak iaitu GPS,” ujarnya.

Hadir sama isteri beliau Datin Saadiah Buji, Pegawai Tadbir Sebuyau Ajis Ahmad, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Ladong Azmi Kawi, Guru Besar SK Ladong Annuar Alim dan Ketua Kaum Jerawi Jaya. -Utusan Borneo Online




No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.