Header Ads

Header ADS

Ernie Zakri Dakwa Dirinya Diperbodohkan Haqiem Rusli


KUALA LUMPUR - "Soal kemurungan bukan main-main... Tindakan menjadikan isu itu sebagai gimik promosi lagu adalah tidak wajar dan bukan langkah bijak."
Itu luahan penyanyi Ernie Zakri yang mendakwa dirinya diperbodoh-bodohkan Haqiem Rusli dalam kontroversi kononnya dia dilanda kemurungan ketika mereka tampil dalam sesi temuramah bersama stesen radio Hot FM, baru-baru ini.
Meluahkan isi hati, Ernie terkejut apabila Haqiem mendakwa dia tersalah cakap mengenai isu kemurungan sedangkan perkara itu dilihat sebagai sesuatu yang dirancang dalam mempromosikan single terbaru penyanyi Tergantung Sepi itu.
"Beginilah, ada yang kata, dia tidak tahu menahu... Tetapi (sebenarnya), gimik kemurungan dan pelancaran single sudah lama dirancang.
"Malah, Haqiem sudah ada tarikh pengumuman yang dekat-dekat dengan majlis pelancaran single berkenaan.
"Apabila mula diasak dengan isu kemurungan, dia boleh kata tersalah cakap pula dan mengubahnya menjadi tekanan.
"Sedangkan hal kemurungan bukan isu ringan... Meletakkan diri mengalami kemurungan dan mengaku ia suatu tekanan, saya rasa ada hak untuk menegakkan fakta bahawa isu kesihatan mental bukan perkara main-main," katanya dipetik daripada entri dimuat naik di Instagram.
Ernie menganggap dirinya diperbodoh-bodohkan Haqiem dalam isu itu.
"Ini kerana pada awalnya, saya menyangka dia benar-benar mengalami kemurungan. Saya hadir pada program itu untuk memberi sokongan kepadanya... Tapi apa yang terjadi adalah sebaliknya," katanya.
Ernie berkata, dia hilang dua jam daripada jadual tugasannya untuk menjayakan sesi temuramah bersama Haqiem, Ara Johari dan Wany Hasrita itu.
Penyanyi Misteri ini juga kesal pihak terbabit tidak memaklumkan kepadanya perkara sebenar berhubung gimik yang mahu 'dipentaskan' selain tidak profesional.
Ernie turut mengulas soalan dikemukakan pengikut mengenai tindakannya memuat naik entri berkenaan.
"Saya ada periuk nasi yang harus dijaga. Saya ada kerjaya yang baru menapak. Saya ada single baharu yang saya rasa penting untuk dipromosikan.
"Jika anda rasa saya pergi ke sesuatu tempat tanpa diberitahu apa tujuan sebenar dan terpaksa membatalkan beberapa perancangan kerana hal itu, apa perasaan anda?
"Kemudian apabila sampai ke tempat itu, anda kena buat sesuatu yang tiada kena mengena dengan diri anda. Saya bukan sehari dua di pentas seni, sudah lapan tahun sebenarnya... Jadi saya harus menjaga periuk nasi sendiri," katanya.
Bulan lalu, Haqiem mencetuskan kontroversi apabila menyuarakan hasrat mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni akibat kemurungan. -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.