Header Ads

Header ADS

UPP Beri Sokongan Penuh Kepada GPS


KUCHING - Parti Rakyat Bersatu (UPP) berjanji memberi sokongan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh berkata UPP selaku parti yang berasal dari Sarawak sentiasa bersedia untuk memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak.


Wong yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang menambah, UPP bersedia untuk berusaha sepenuhnya menyokong usaha-usaha Ketua Menteri mengembalikan hak Sarawak dan melindungi Sarawak.

“Kami, UPP berjanji memberi sokongan penuh kepada GPS di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Abang Johari,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan untuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Beliau berkata pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) berkurangan terutama dalam kalangan pengundi bandar.

Katanya ia telah membawa kepada perubahan minda dan peralihan besar kepada Pakatan Harapan (PH) dalam kalangan pengundi tidak sukar dikesan tetapi perubahan minda pengundi menimbulkan beberapa soalan menarik.

“Pertama, bolehkah kemenangan pada PRU14 membawa perubahan besar kepada landskap politik Sarawak seperti didakwa PH?


“Kedua, adakah kemenangan PH dapat mengatasi peralihan parti politik yang berterusan oleh rakyat Sarawak seperti dituntut oleh PH?,” katanya.


Menurutnya semua sedia maklum, pengaruh PH itu disebabkan tindakan seorang dua dan kesan buruk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mungkin tidak kekal lama dan boleh membuktikan hanya seketika serta sementara atau mungkin fasa perkembangan politik.

“Tetapi, inilah satu pengajaran yang mesti dipelajari agar GPS membuat persiapan lebih baik untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang akan diadakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

Wong yang juga ADUN Bawang Assan berkata UPP akan memberi sokongan penuh kepada Abang Johari dalam usahanya mendapatkan semula hak Sarawak dalam Malaysia terutama sumber minyak dan gas serta operasinya.

“Kami merayu kepada pucuk kepimpinan kerajaan persekutuan agar mempertimbang untuk mengembalikan hak Sarawak.

“Kita bersetuju menubuhkan Malaysia berdasarkan perjanjian antarabangsa iaitu Perjanjian Malaysia 1963. Perjanjian Malaysia dilaksanakan oleh United Kingdom of Great Britain dan Ireland Utara bersama Persekutuan Malaya, Utara Borneo, Sarawak dan Singapura.

“Perjanjian ini didaftar oleh United Kingdom of Great Britain dan Ireland Utara pada 21 September 1970 selepas kelima-lima pihak ini menandatangani satu perjanjian pada 9 Julai 1963,” jelasnya.

Justeru ujarnya, tiada undang-undang di Malaysia, termasuk Perlembagaan boleh dipinda atau mengatasi Perjanjian Malaysia. Katanya terdapat perlindungan khusus dalam Perjanjian Malaysia untuk hak-hak Sarawak dan Sabah.

“Akta Pembangunan Petroleum (PDA) hanya undang-undang Malaysia dan ia tidak boleh mengubah hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia. PDA diluluskan tanpa persetujuan rakyat Sarawak.

“Petronas memfailkan saman terhadap Sarawak dalam usahanya menguatkuasakan haknya yang dikatakan di bawah PDA. Adakah Petronas berbuat demikian dengan keizinan tersirat Perdana Menteri? Sekiranya ia berlaku, maka itu jelas bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan untuk memulihkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia,” tegasnya.

Tambahnya, jika Petronas di dalam frolik sendiri memfailkan saman tanpa pengetahuan atau kelulusan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), maka adalah kewajipan kerajaan persekutuan PH menghentikan langkah-langkah seterusnya yang mungkin diambil syarikat minyak itu selepas permintaan mereka ditolak Mahkamah Persekutuan atas sebab bidang kuasa mahkamah.

“Kami meminta Perdana Menteri mematuhi dan memenuhi manifesto PH untuk menegak dan mengembalikan hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia.
“Pengembalian hak-hak itu jelas tidak selaras dengan saman Petronas yang semata-mata berasaskan PDA,” ujarnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.