Header Ads

Header ADS

Nilai Perdagangan Sarawak Tumbuh Positif Sebanyak RM56.5 Bilion


KUCHING - Sektor perdagangan Sarawak mencatat pertumbuhan positif untuk lima bulan pertama tahun ini dengan nilai perdagangan RM56.5 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Dato Sri Wong Soon Koh berkata nilai itu menunjukkan peningkatan 2.9 peratus berbanding tempoh sama 2017.

“Seiring dengan prestasi perdagangan Malaysia, perdagangan Sarawak mencatat pertumbuhan positif untuk Januari hingga Mei 2018 dengan nilai perdagangan RM56.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Wong berkata perdagangan dengan rakan niaga turut merekodkan pertumbuhan positif antaranya, Indonesia mencatat peningkatan 70.9 peratus, Taiwan (meningkat 37.2 peratus) dan Thailand (meningkat 35.2 peratus).

Manakala Semenanjung Malaysia, Jepun, Republik Rakyat China, Republik Korea dan Taiwan kekal sebagai rakan niaga kelima teratas Sarawak, menyumbang 68.7 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan di Sarawak.

“Jumlah eksport Sarawak untuk Januari hingga Mei tahun ini ialah RM39.4 bilion dan produk utama dieksport kekal gas asli cecair (RM16.0 bilion, 40.6 peratus), petroleum mentah (RM4.6 bilion, 11.8 peratus), minyak sawit (RM3.7 bilion, 9.4 peratus).

“Sarawak juga mengeksport aluminium (RM2.6 bilion, 6.6 peratus), produk lain petroleum (RM1.6 bilion, 6.5 peratus) serta produk kayu dan kayu (RM2.2 bilion, 5.5 peratus),” ujarnya.

Bagi nilai import pula, Wong berkata untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini, RM17.1 bilion direkodkan melibatkan lima produk utama iaitu peralatan pengangkutan dan jentera (RM5.3 bilion), kimia (RM2.6 bilion), barangan kilang (RM2.5 bilion), makanan (RM2.0 bilion) dan bahan api galian, pelincir dan sebagainya (RM1.6 bilion).

Sarawak, juga katanya merekodkan peningkatan nilai dagangan dengan negara-negara ASEAN. Setakat Mei 2018, nilai dagangan mencecah RM6.1 bilion, meningkat sebanyak 38.3 peratus berbanding RM4.4 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

“Dalam usaha menjadikan Sarawak terus menjadi pilihan rakan niaga negara-negara luar kementerian akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif mempromosi dan meningkatkan hubungan dengan rakan niaga sedia ada.

“Pada masa sama, mencari pasaran baharu yang berpotensi untuk meningkatkan lagi nilai dagangan dan mencatatkan pertumbunan perniagaan memberangsangkan,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.