Sebanyak 4 Rang Undang-Undang Dibentangkan Dalam Persidangan DUN Sarawak
KUCHING - Sebanyak empat rang undang-undang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula esok hingga 18 Julai.
Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata empat rang undang-undang tersebut adalah Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan (2017), 2018; Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan (2018), 2018; Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak (Pindaan), 2018 dan Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan), 2018.
“Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan (2017), 2018 dan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan (2018), 2018 masing-masing akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh.
“Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak (Pindaan), 2018 pula akan dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan serta Menteri Pembangunan Bandar Kedua dan Sumber Asli Kedua.
“Manakala Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 akan dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini hari ini selepas Mesyuarat Pra- Persidangan DUN yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Selain pembentangan empat rang undang-undang, Awang Asfia turut memaklumkan menerima empat usul dengan dua daripadanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pelawan, David Wong dan dua lagi daripada ADUN DAP Pujut, Dr Ting Tiong Choon.
Usul pertama daripada Wong adalah mengenai pindaan Kanun Tanah untuk pembaharuan automatik dan tidak bersyarat bagi pajakan tanah, manakala usul kedua juga dari Wong adalah mengenai konsesi penyelenggaraan jalan negeri.
Dua lagi usul daripada Dr Ting adalah untuk menghapus monopoli market simen di Sarawak dan meminta kerajaan negeri untuk menyediakan dana yang adil kepada wakil rakyat bagi Sarawak.
No comments