Header Ads

Header ADS

Petronas Tidak Terkecuali Patuhi OMO 58 Dan Kanun Tanah


KUCHING - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak dikecualikan daripada mematuhi Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) dan Kanun Tanah apabila syarikat itu atau kontraktornya menjalankan penerokaan, prospek dan perlombongan untuk petroleum di Sarawak. 
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan Sarawak tidak pernah mengecualikan kewajipan Petronas dan kontraktornya daripada mematuhi undang-undang negeri apabila menjalankan aktiviti huluan tersebut di daratan dan luar pantai Sarawak. 
Justeru katanya, Petronas sebagai sebuah syarikat minyak kebangsaan, ketika beroperasi di Sarawak mesti mematuhi undang-undang negeri ini, khususnya OMO dan Kanun Tanah. 
“Rakyat Sarawak mahu Petronas menghormati undang-undang negeri kita dan aspirasi mereka untuk pengawalseliaan yang lebih baik ke atas eksploitasi minyak dan gas, selain pembahagian yang lebih saksama daripada hasil minyak dan gas yang diperolehi dari wilayah Sarawak. 
“Kerajaan Sarawak mahu memastikan aspirasi rakyat direalisasikan dan akan terus memperjuangkan hak negeri terhadap minyak dan gas,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perlombongan Minyak (Pindaan) 2018 diikuti bacaan kali ketiga sebelum diluluskan dengan majoriti ahli Dewan menyokong RUU itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.