Header Ads

Header ADS

Satu Lagi Politik Mengarut Pakatan Harapan Sarawak - Abdullah


KUCHING - Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen mengenai bayaran royalti minyak kepada Sarawak dipersoalkan sama ada ia ‘sehaluan’ dengan penjelasan pemimpin-pemimpin PH dalam kerajaan persekutuan mengenai janji bayaran royalti dalam Tawaran Baharu kepada Sarawak yang diumumkan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata, royalti dibayar kepada Sarawak adalah berdasarkan keuntungan bersih, bukan pengeluaran kasar seperti diamalkan sekarang.

Tambahnya, Azmin mengakui kerajaan PH tidak menjangka kesukaran yang terpaksa dilalui dalam usaha menambah jumlah royalti ketika merangka manifesto pilihan raya PH.

“Sekali lagi saya mahu mengingatkan Chong mengenai janjinya yang diumum dan disiarkan pada 11 Mac 2018.

“Tuan Pengerusi PH Sarawak, seperti yang dijanjikan, bilakah kamu akan membentangkan usul di Parlimen yang kamu dengan bangganya menganggap sebagai pindaan ‘kecil’ Seksyen 2(1) PDA 1974?.

“Saya bersetuju dengan kamu bahawa pindaan kecil itu akan membolehkan Sarawak menuntut semula pemilikan ke atas semua minyak dan gas yang ditemui di negeri ini.

“Membaca kenyataan terbaharu PH Sarawak secara keseluruhannya, kita mempersoalkan sama ada PH Sarawak ‘sehaluan’ dengan pemimpin-pemimpin PH dalam pentadbiran kerajaan persekutuan,” katanya.

Abdullah berkata, Azmin dalam kenyataannya di Parlimen sebelum ini turut mengatakan pindaan ke atas PDA (Akta Pembangunan Petroleum) 1974 perlu bagi membolehkan semakan royalti dilakukan.

Sebaliknya Chong dan PH Sarawak, ujarnya dalam kenyataan terbaharu mereka mengatakan: 

“Jika Petronas tidak mampu membayar sepenuhnya 20 peratus royalti, kerajaan persekutuan akan menambah atau membayar jumlah yang kurang.”

Ia katanya, memperlihatkan PH Sarawak dan menteri persekutuan PH tidak berkomunikasi dengan baik dan keadaan ini memberi gambaran bahawa Tawaran Baharu PH Sarawak tiada kredibiliti.

Chong dengan ini diberi pilihan sama ada menunaikan janji beliau untuk membentangkan usul untuk meminda Seksyen 2(1) PDA atau menasihati Azmin bahawa Seksyen 3(2) PDA menyatakan, ‘Perbadanan hendaklah tertakluk kepada Arahan dan Kawalan Perdana Menteri yang boleh dari semasa ke semasa mengeluarkan arahan seperti difikirkannya patut,” tambahnya.

“Saya menasihati Chong dan pemimpin PH, untuk mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya memberikan royalti 20 peratus bukan berdasarkan keuntungan tetapi daripada nilai pengeluaran minyak dan gas yang diambil dari Sarawak.

“Pendek cerita Chong serta pemimpin PH Sarawak harus bertindak segera, janganlah membuang masa dengan memperkenalkan pelbagai tawaran yang remeh,” ujarnya.

Abdullah turut mempersoalkan apakah Chong benar-benar yakin rakyat Sarawak akan percaya kerajaan persekutuan PH akan menunaikan janji membayar baki royalti 20 peratus jika Petronas tidak mampu melakukannya.

“Tolonglah berhenti menghina rakyat Sarawak. Perkara tiga dalam kenyataan rasmi PH Sarawak hari ini satu lagi contoh manipulasi politik yang sering diamalkan pemimpin-pemimpin PH,” katanya.

Menurut PH Sarawak, disebabkan penolakan tawaran asal oleh Kerajaan Sarawak, kerajaan persekutuan terpaksa mengadakan ‘Rundingan Semula’ semua janji- janji yang ditawarkan kepada Kerajaan Sarawak,” katanya.

“Amat jelas satu pembohongan di sini kerana tawaran asal bukan datang daripada kerajaan persekutuan. Bila masanya kerajaan persekutuan memberi tawaran tersebut?

“Kalau Chong dan PH Sarawak benar-benar ikhlas dan jujur tentang ‘Tawaran Baharu’ mereka, maka mereka sepatutnya meminta Perdana Menteri atau Menteri Kewangan membuat pengumuman rasmi mengenai tawaran itu,” tegasnya.

Menurut Abdullah, beliau yakin PH Sarawak tidak mampu menunaikan janji-janji mereka dalam ‘Tawaran Baharu’ tersebut jika tidak mendapat kelulusan rasmi daripada kabinet persekutuan.

Sekali lagi, PH Sarawak bercakap mengenai cadangan mereka, iaitu Sarawak seharusnya mengambil tanggungjawab kewangan sepenuhnya untuk mentadbir perkara berkaitan pendidikan dan penjagaan kesihatan, katanya.

“Sementara PH jelas menunjukkan keraguan tentang kemampuan mereka menunaikan janji-janji seperti dinyatakan dalam ‘Tawaran Baharu’ tersebut, lebih mengejutkan ialah cadangan mereka untuk membebankan Kerajaan Sarawak dari segi kewangan dengan mengambil alih tanggungjawab mengurus perkara-perkara berkaitan pendidikan dan kesihatan.

“Kedua-dua portfolio ini amat jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai tanggungjawab hakiki kerajaan persekutuan. “Itu adalah cubaan untuk mengkhianati rakyat Sarawak dan memihak kepada tuan (mereka) kerajaan persekutuan PH,” ujarnya.

Justeru beliau mencadangkan agar Baru Bian selaku Menteri Kerja Raya dan Chong Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar memberi tumpuan kepada tugas-tugas kementerian masing-masing.

“Pastikan JKR (Jabatan Kerja Raya) mendapat peruntukan lebih besar dan membina jalan raya yang lebih baik di Sarawak.

“Soalan saya kepada YB Chong adakah beliau yakin dan percaya bahawa harga barangan asas telah turun atau lebih murah daripada dahulu? Tidak hairanlah pengerusi PH Sarawak hanya diberi jawatan Timbalan Menteri Persekutuan,” katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.