Header Ads

Header ADS

Abang Jo Lulus Peruntukan RM200 Juta Naik Taraf Projek Bekalan Air Balingian-Daro


MUKAH - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan RM200 juta untuk menaik taraf projek bekalan air di sepanjang kawasan Balingian-Daro.

Beliau berkata, projek yang akan dilaksanakan serta siap dalam tempoh dua tahun itu akan menghubungkan semua kawasan pesisir dimaksudkan dengan kemudahan bekalan air bersih.

“Kita akan sambungkan semua kawasan dengan kemudahan air terutama bagi kawasan yang tidak ada akses,” katanya pada Majlis Penangguhan Pesta Matu 2018 di pekarangan Pasar Matu Lama semalam.

Menurutnya, ia merupakan projek jangka pendek yang akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, projek sistem Grid Bekalan Air Sarawak juga akan dilaksanakan tetapi ia untuk penyelesaian jangka panjang untuk disiapkan.

“Kedua-dua projek akan dilaksanakan untuk memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan ini,” jelasnya.

Abang Johari berkata beliau masih memegang amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Saya telah berjanji kepadanya untuk menjaga Sarawak dan rakyatnya, itulah yang saya lakukan sekarang,” ujarnya.

Ia termasuk mengenai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) serta penyeliaan terhadap kerja cari gali minyak dan gas di negeri ini.

Pesta Matu telah bermula pada 26 Julai dan dikunjungi sekitar 5,000 pengunjung sepanjang ia berlangsung.

Abang Johari turut menyerahkan geran tanah lot kampung tradisi untuk beberapa kampung di Matu serta menyaksikan pertandingan akhir Mini Regatta sebelum memeriksa beberapa projek yang sedang dijalankan.

Turut hadir isteri beliau Datin Patinggi Datuk Juma’ni Tuanku Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi dan Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abdul Wahab.

Sementara itu, ADUN Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya mengatakan bahawa kerajaan negeri sebenarnya menanggung kos sekitar RM6 juta setahun untuk merawat bekalan air di daerah Matu.

“Kos membeli bahan kimia untuk memproses bekalan air terawat adalah menjangkau RM500,000 sebulan,” jelasnya. 

Bagaimanapun katanya, perkara ini adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan rakyat. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.