Header Ads

Header ADS

PH Sarawak Akan Terus Tuntut Royalti Minyak 20 Peratus


KUCHING - Pakatan Harapan (PH) Sarawak akan terus menuntut royalti minyak 20 peratus seperti termaktub dalam manifestonya.

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata di bawah Manifesto PH dua perkara dijanjikan, pertama, 20 peratus (tambahan 15 peratus) royalti minyak dan gas selain 50 peratus daripada keseluruhan hasil cukai dikumpul di Sarawak diberikan kepada Kerajaan Sarawak.

Kedua, Kerajaan Sarawak hendaklah mendapat autonomi penuh dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan di Sarawak dan bertanggungjawab ke atas kewangan kedua-dua kementerian itu, katanya.

Malah ujarnya, dipersetujui dalam manifesto berkenaan, sekiranya syarikat-syarikat minyak dan gas tidak mampu membayar royalti 20 peratus, kerajaan persekutuan akan menambah jumlah yang kurang.

Ia katanya, seiring dengan agenda ‘Autonomi Negeri’ PH Sarawak.

“Kerajaan Sarawak menolak tawaran ini dan dengan mudah mengutamakan 20 peratus royalti sambil mengetepikan tanggungjawab kewangan serta autonomi pendidikan dan penjagaan kesihatan.

“Memandangkan Kerajaan Sarawak menolak tawaran asal kita, kerajaan persekutuan dipaksa membincangkan semua perkara ini dan ia telah menyebabkan isu keuntungan minyak 20 peratus untuk Sarawak timbul,” ujarnya.

Chong berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya ia adalah kenyataan bersama beliau yang juga pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak dengan Pengerusi Parti Keadilan (PKR) Sarawak Baru Bian dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi.

Mengenai 20 peratus royalti minyak, Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata rakyat Sarawak sudah tentu tidak akan berkompromi dengan lima peratus royalti sekarang.

Menurutnya pembayaran royalti sebanyak lima peratus adalah perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Sarawak dan ia tidak boleh diubah kecuali Kerajaan Sarawak secara sukarela memberikannya.

“Kerajaan PH juga khuatir dengan pembayaran tunai langsung kepada Kerajaan Sarawak memandangkan Kerajaan Sarawak tidak mengamalkan tadbir urus yang telus dan baik.

“Dasar-dasar Kerajaan Sarawak ke atas tanah dan balak telah membuktikan dasar-dasar untuk pengurusan sumber kekayaan semula jadinya hanya berpihak kepada kroni manakala rakyat tidak mendapat bahagian yang adil hasil kekayaan itu,” ujarnya.

Justeru ujarnya, jawatankuasa kabinet ditubuhkan untuk membincangkan perkara berkenaan secara mendalam, kuantum dan mekanisme menyalurkan dana kepada rakyat sambil mengurangkan risiko salah urus oleh Kerajaan Sarawak.

“Perkara pokok ialah keuntungan minyak 20 peratus ditawar, akan dilanjutkan dan sebagai tambahan kepada royalti lima peratus minyak dan gas sedia ada.

“Ini adalah perkembangan positif dan jauh lebih baik berbanding pengaturan dibuat BN (Barisan Nasional) iaitu royalti lima peratus kekal sejak 45 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, PH Sarawak telah berjuang sejak beberapa tahun lalu untuk mendapatkan royalti minyak 20 peratus dan akhirnya selepas dua bulan kerajaan berubah, sekurang-kurangnya ada pendapatan tambahan untuk Sarawak selain royalti minyak lima peratus dipersetujui kerajaan BN sejak 45 tahun lalu.

“Kita berharap Kerajaan Sarawak akan terus berbincang dengan kerajaan persekutuan mengenai perkara ini seperti PDA (Akta Pembangunan Petroleum) 1974 ke arah perkongsian sumber minyak Sarawak yang lebih adil,” tambahnya.

Hadir sama Baru yang juga Menteri Kerja Raya, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, Ahli Parlimen Saratok Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin. -Utusan Borneo Online



No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.