Header Ads

Header ADS

Sarawak Tiada Masalah Dengan Kenyataan PETRONAS - Abang Zohari


KUCHING - Kenyataan Petronas yang kekal dengan pendiriannya bahawa ia memiliki secara eksklusif sumber petroleum di Malaysia tidak menjadi masalah atau penghalang kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya tiada masalah dengan kenyataan yang dikeluarkan Petronas pada dua hari lepas. 

“Kenyataan mereka (Petronas) tiada masalah...tiada hal kerana ada perbincangan diatur,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Integriti dan Inovasi Peringkat Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama.

Isnin lepas, Petronas dalam kenyataannya kekal dengan pendirian bahawa ia memiliki pemilikan secara eksklusif sumber petroleum di Malaysia dan sebagai pengawal selia tunggal sektor huluan di negara ini.

Petronas dalam kenyataan itu, menyatakan bahawa ia akan memantau keadaan dengan teliti, termasuk mendapatkan pandangan dan panduan daripada Kerajaan Malaysia, sebagai pemegang saham tunggal, dalam menjalankan tugasnya.

Petronas memberi maklum balas terhadap kenyataan yang dibuat Pejabat Ketua Menteri Sarawak sebelum itu mengenai niat Kerajaan Sarawak untuk menjalankan kuasa di bawah undang-undang negeri berkaitan aktiviti minyak dan gas di Sarawak.

Kenyataan itu menyebut, Kerajaan Sarawak berkuat kuasa 1 Julai lalu menggunakan kuasanya di bawah undang-undang negeri yang berkaitan.

Sementara itu, mengenai amaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar mana-mana pihak yang menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) agar mengembalikan semula wang itu, beliau berkata pihak yang berkaitan perlu akur dengan arahan terbabit.

“Ikut arahan... siapa yang ada menerimanya (dana 1MDB),” kata Abang Johari.

Dalam pada itu, SPRM meminta mana-mana pemilik akaun yang dibekukan kerana berkaitan 1MDB supaya menyerahkan dana berkenaan kepada suruhanjaya itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Shukri Abdull yang juga anggota pasukan tugas khas 1MDB, berkata tiada notis dikeluarkan sebelum ini untuk membekukan akaun bank berkenaan bagi menunjukkan ‘elemen kejutan’. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.