Header Ads

Header ADS

Sarawak, Sabah Mesti Bersatu Desak Tunaikan Janji-Janji PRU14


KUCHING - Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Malaysia, mesti bersatu dan ‘membentangkan kes’ mereka kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar janji-janji semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ditunaikan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengasas Persatuan Patriot Sarawak Kolonel (B) Fabian Wong sebagai mengulas barisan kabinet kerajaan persekutuan sekarang.

“Sarawak dan saya percaya majoriti rakyatnya sangat kecewa dengan pelantikan ahli-ahli kabinet kerajaan persekutuan kerana hanya seorang menteri penuh dari Sarawak, sehingga ada yang secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

“Ini adalah satu kekecewaan besar selepas semua janji-janji manis ini. Tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak wujud.

“Orang penting dari Malaya (Semenanjung Malaysia) mengakui sebelum dan selepas PRU14 bahawa Malaya, Sabah dan Sarawak rakan kongsi sama.

“Namun apabila tiba masa pembentukan kabinet kerajaan persekutuan, Malaya mengambil hampir kesemua jawatan menteri, tinggal kurang daripada lima untuk Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya semalam.

Menurutnya Malaya sudah mengambil 75 peratus kerusi Ahli Parlimen dan sekarang mengambil pula kira-kira 90 peratus daripada jawatan menteri.

“Masa depan Malaysia iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak, amat bergantung kepada kesaksamaan dan keadilan. Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan berbanding Malaya.

“Bolehkah kerajaan persekutuan (sekarang) memastikan dalam tempoh dua tahun akan datang, pelan induk dibuat khas untuk Sabah dan Sarawak agar dua negeri ini setanding dengan Malaya menjelang 2030?,” soalnya.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.