Header Ads

Header ADS

BAHAM Mahu Sarawak Land Code Berkaitan PMPG Ditangguhkan Pada Persidangan DUN Sarawak 9 Julai Ini


KUCHING - Atas sebab rasa tidak puas hati terhadap tuntutan yang tidak diambil kira sepenuhnya oleh Task Forse Pemakai Menoa Pulau Galau (PMPG), Badan Hak Adat Melayu Sarawak (BAHAM) meminta Kerajaan Negeri Sarawak agar pindaan Sarawak Land Code (SLC) berkaitan PMPG ditangguhkan.

Pengerusinya Datu Dr. Hj. Sanid Hj Said berkata keputusan itu diambil selepas mendapati tuntutan BAHAM mengenai PMPG ini tidak diambil kira sepenuhnya dalam Task Force PMPG seperti yang tersebar di dalam draf pindaan atau bill SLC yang diperoleh menerusi media sosial.

"Berdasarkan draf pindaan yang bocor dan ditular di media sosial itu didapati tuntutan BAHAM tidak diambil kira sepenuhnya.

"Oleh itu, BAHAM berasa tidak berpuas hati jika pindaan tersebut dibentang dan diluluskan di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada minggu depan," katanya dalam sidang di Rumah Laksamana, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, petang ini.

Task Force PMPG dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan ahli-ahlinya terdiri daripada Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pengurusan Projek Yang Berhormat Puan Sharifah Hasidah Sayee Aman Ghazali dan Tan Sri Datuk Seri Safri Awang Zaidel seorang tokoh pendidikan dan bekas penjawat awam yang pernah menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Pemanca Ali Menudin sebagai wakil Kedayan.

Dalam draf pindaan yang bocor seperti yang tular di media sosial didapati tidak memasukkan tuntutan Orang Asal Melayu Sarawak, Kedayan, Jati Miriek dan Vae Segan sepenuhnya.

"Oleh kerana Hak Adat Bumiputera dalam dunia ini berlandaskan sejarah dan kebudayaan Orang Asal, maka BAHAM menuntut agar sejarah kerajaan Melayu seperti negeri Santubong, Kalaka, Saribas, Malano, Samarahan, Sadong dan Baram Lama sebelum Zaman Kesultanan Melayu Brunei dan Zaman Dinasti Brooke yang telah menjadi hak semulajadi dan mesti dilindungi serta diserahkan kepada mereka.

"BAHAM mempunyai bukti-bukti bertulis dan manuskrip, buku-buku, kubur dan tumbuhan sama ada di darat mahupun di sungai, pantai dan laut yang membuktikan sejarah Melayu Sarawak telah bermula semenjak tahun 600M lagi," katanya lagi.

Sanid berkata penangguhan ini juga dibuat disebabkan Orang Asal Melayu Sarawak, Kedayan, Jati Miriek dan Vae Segan masih belum selesai mendapatkan maklumat dan penerangan dari seluruh Sarawak berkaitan PMPG ini. 

"Task Force PMPG yang dibentuk Kerajaan Negeri Sarawak pada tahun 2017 itu tidak mempunyai wakil Orang Asli Melayu Sarawak, Kedayan, Jati Miriek dan Vae Segan.

"Sebaliknya, Task Force yang bermesyuarat berpuluh kali pada tahun 2017 hanya melibatkan kumpulan etnik Orang Asal tertentu sahaja.

"Malah, wakil Melayu hanya dilantik setahun kemudian pada bulan Februari 2018," ujarnya.

BAHAM yang hanya mula ditubuhkan pada 29 Januari 2018 masih belum berkesempatan dan berkemampuan mengadakan kajian dan seminar di beberapa bahagian di Sarawak.

Oleh yang demikian, adalah tidak adil dan jelas sebagai satu penafian hak Orang Asal Melayu Sarawak, Kedayan, Jati Mariek dan Vae Segan dalam proses pindaan SLC ini dan bercanggah dengan deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Dalam pada itu, Sanid juga mahu prinsip undang-undang Native Territorial Domain (NTD) dapat diguna pakai dalam Sarawak Land Code ini.

"BAHAM berpendapat prinsip bersifat neutral dan global ini mungkin dapat digunakan oleh semua Orang Asal Sarawak.

"Malah, BAHAM juga berharap NTD memberi ruang untuk kawasan selain tanah dan hutan, tetapi juga merangkumi tanah jajahan dan takluk negeri Melayu lama, tebing dan perairan sungai, kawasan pantai, pulau dan lautan serta dengan segala sumber alam di dalamnya.

Sementara itu, BAHAM menuntut Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak, Kedayan, Jati Miriek dan Vae Segan berlandaskan prinsip undang-undang dan perlembagaan right to sovereignty seperti yang dilaksanakan di Kanada untuk Bumiputera First Nations yang diberikan kawasan self-government.

BAHAM menyeru semua rakyat Melayu, Kedayan, Jati Miriek dan Vae Segan yang berada di dalam DUN Sarawak dapat membangkitkan suara rakyat bagi tuntutan Hak Adat Bumiputera sebagai Orang Asal dan berharap perkara ini tidak dipolitikan demi memikirkan kebajikan dan masa depan negeri Sarawak.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.