Pelaksanaan OMO58 Beri Pendapatan Negeri Bertambah, Banyak Pembangunan Dilaksanakan Di Sarawak
SIBU - Usaha Kerajaan Sarawak mempertahankan hak mengurus minyak dan gas di negeri ini adalah untuk masa depan rakyat dan negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha itu akan membantu kerajaan mendapat lebih banyak pendapatan bagi membangunkan negeri ini.
“Pendirian kita (kerajaan) amat jelas, mana-mana syarikat boleh memohon dan mencali gali di wilayah kita tetapi mengikut syarat yang telah ditetapkan iaitu dengan memohon lesen.
“Implikasi daripada semua ini kita akan mendapat lebih pendapatan, bukannya lima peratus seperti yang kita dapat sekarang.
“Jika dikuatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58), pendapatan kita akan bertambah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sibu di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Rogayah Jamain, Pemanca Sharifah Mariam Syed Junaidi, Pengerusi PERKIM Sibu Datin Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz.
Menurut Fatimah, kerajaan melihat usaha itu sebagai sesuatu yang amat penting demi pembangunan negeri, rakyat, kerajaan dan anak-anak Bumi Kenyalang.
Ini kerana katanya, jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, Sarawak agak jauh ketinggalan dari segi pembangunan jalan, air, elektrik, sekolah dan sebagainya.
“Sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia, tentu sekali mahu hak kita dikembalikan demi untuk kesejahteraan kita bersama,” jelas Fatimah.
OMO telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1958 dan dikuat kuasa mulai 9 Jun 1958.
Bermula 1 Julai lalu, Kerajaan Sarawak telah mengarahkan segala aktiviti minyak dan gas di negeri ini mendapatkan lesen dan kebenaran daripada Kerajaan Sarawak berdasarkan OMO58.
Dengan langkah itu, syarikat minyak termasuk Petronas dikehendaki mematuhi OMO dan perlu mempunyai lesen atau pajakan seperti disyaratkan dan jika gagal berbuat demikian aktiviti huluan yang dijalankan syarikat akan menjadi tidak sah dan tindakan sesuai boleh diambil. -Utusan Borneo Online
No comments