Header Ads

Header ADS

Pakatan Harapan Sarawak Bantah Usul Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 (LCAB)


KUCHING - Pakatan Harapan (PH) Sarawak kekal dengan pendirian untuk membantah Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 (LCAB) yang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu ini (hari ini).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Be'Kalalan, Baru Bian berkata PH Sarawak amat kecewa dengan konsep 'pemakai menoa' (PM) dan 'pulau galau' (PG) yang terkandung di dalam LCAB 2018. 
"Selepas meneliti Rang Undang-Undang Kanun Tanah 2018 yang kononnya mencari pengiktirafan konsep 'pemakai menoa' dan 'pulau galau' bagi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), maklum balas kami (PH Sarawak) adalah amat mengecewakan. 
"Ia (LCBA 2018) gagal mengiktiraf dan mengesahkan ciri-ciri asas konsep 'pemakai menoa' dan 'pulau galau' (territorial domain) seperti disahkan oleh kes- kes mercu tanda daripada bidang kuasa lain dan daripada bidang kuasa kita yang mempertahankan hak-hak orang asal termasuk kepentingan ke atas tanah dan tidak hanya hak dari segi undang-undang menggunakan tanah tetapi tidak memiliki (usufructuary rights), yang mana hanya menandakan hak ke atas tanah," katanya pada sidang media di Pusat Media Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 
Baru yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berkata Seksyen 6A(1), LCAB 2018 mengkhusus hanya menyediakan pengiktirafan 'usufructuary rights' sahaja yang membawa maksud, 'hak atau keistimewaan mengusaha atau menikmati oleh komuniti pribumi ke atas kawasan liputan wilayah pribumi (native territorial domain) untuk mencari makanan termasuk memancing dan memburu. 
Kedua katanya, keluasan kawasan dibenarkan diberi kepada komuniti asal di bawah konsep itu dihadkan kepada 500 hektar sahaja (rujuk kepada Seksyen 6A(2), LCAB. 
"Pendirian kami ialah tanah NCR kita atau 'pemakai menoa' dan 'pulai galau' tidak boleh dihadkan kepada kawasan ditakrifkan oleh pihak berkuasa. 
"Keluasan kawasan liputan wilayah pribumi (PM) mengikut kawasan penduduk pribumi secara berterusan tinggal di situ semenjak nenek moyang mereka hingga hari ini," katanya. 
"Banyak kes mahkamah telah kami menangi, yang mana PM dan PG yang mempunyai keluasan melebihi 10,000 hektar, menghadkan saiz PM dan PG adalah suatu yang tidak adil serta tidak bermoral," ujarnya. 
Alasan ketiga, PH Sarawak membantah LCAB 2018 menurut Baru ialah, Seksyen 6A(2( (3) (4) LCAB, menyediakan permohonan pengiktirafan 'territorial domain' dibuat oleh Superintenden Tanah dan Survei dan diluluskan oleh Pengarah Tanah dan Survei. 
Katanya, sebarang bantahan oleh Pengarah Tanah dan Survei ke atas permohonan itu, boleh dikemukakan rayuan kepada Menteri (bertanggungjawab). 
"Pendirian kita (PH Sarawak) ialah penetapan adat penduduk asal Sarawak tidak boleh dibuat oleh bukan penduduk asal atau orang yang tidak ada pengetahuan mengenai adat penduduk asal. 
"Dalam hal ini, kertas cadangan kami untuk menubuhkan Suruhanjaya Tanah Penduduk Asli terdiri daripada mereka yang mahir dalam adat penduduk asli dan adat untuk menyelesaikan isu-isu ini seharusnya dilakukan dengan baik," katanya. 
Justeru ujarnya, PH Sarawak perhatikan aspek positif cadangan pindaan ke atas aspek hak milik selama-lamanya ke atas 'territorial domain' Seksyen 6A(3) (b). 
Bagaimanapun, ujarnya perkara itu sendiri tidak boleh menjelaskan aspek-aspek tidak masuk akal pindaan seperti dinyatakan. 
"Maka atas alasan-alasan ini, kami dengan penuh rasa hormat ialah menggesa rakan YB kita dari Kerajaan Negeri tidak menyokong LCAB 2018 apabila ia dibahan seterusnya diundi Rabu ini kerana ia bukan suatu yang diharapkan oleh penduduk asal di negeri ini," katanya. 
Hadir sama, ADUN Kota Sentosa, yang juga Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen dan ADUN Krian, Ali Biju. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.