PH Sarawak Desak GPS Tidak Sokong Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 (LCAB)
KUCHING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) digesa tidak menyokong Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 (LCAB) apabila ia dibentang dan dibahaskan pada Persidangan DUN hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan Baru Bian berkata LCAB bukan sesuatu yang diharapkan oleh penduduk peribumi di negeri ini.
Beliau berkata disebabkan itu Pakatan Harapan (PH) Sarawak kekal dengan pendirian membantah LCAB kerana amat kecewa dengan konsep Pemakai Menoa (PM) dan Pulau Galau (PG) yang terkandung dalam LCBA 2018.
“Selepas meneliti Rang Undang-Undang Kanun Tanah 2018 yang kononnya mencari pengiktirafan terhadap konsep Pemakai Menoa dan Pulau Galau bagi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), maklum balas kami (PH Sarawak) adalah amat mengecewakan.
“Ia (LCBA 2018) gagal mengiktiraf dan mengesahkan ciri-ciri asas konsep Pemakai Menoa dan Pulau Galau’ (territorial domain) seperti disahkan oleh kes-kes mercu tanda daripada bidang kuasa lain dan daripada bidang kuasa kita yang mempertahankan hak-hak orang asal termasuk kepentingan ke atas tanah dan tidak hanya hak dari segi undang-undang menggunakan tanah tetapi tidak memiliki (usufructuary rights) yang mana hanya menandakan hak ke atas tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Baru yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berkata Seksyen 6A(1), LCBA 2018 mengkhusus hanya menyediakan pengiktirafan ‘usufructuary rights’ sahaja yang membawa maksud, ‘hak atau keistimewaan mengusaha atau menikmati oleh komuniti peribumi ke atas kawasan liputan wilayah peribumi (native territorial domain) untuk mencari makanan termasuk memancing dan memburu.
Kedua katanya, keluasan kawasan dibenarkan diberi kepada komuniti asal di bawah konsep itu dihadkan kepada 500 hektar sahaja (rujuk kepada Seksyen 6A(2), LCAB.
“Pendirian kami ialah tanah NCR kita atau Pemakai Menoa dan Pulau Galau tidak boleh dihadkan kepada kawasan ditakrifkan oleh pihak berkuasa.
“Keluasan kawasan liputan wilayah peribumi (PM) mengikut kawasan penduduk peribumi secara berterusan tinggal di situ sejak nenek moyang mereka hingga hari ini,” katanya.
“Banyak kes mahkamah telah kami menangi, yang mana PM dan PG yang mempunyai keluasan melebihi 10,000 hektar, mengehadkan saiz PM dan PG adalah suatu yang tidak adil serta tidak bermoral,” ujarnya.
Alasan ketiga, PH Sarawak membantah LCAB 2018 menurut Baru kerana Seksyen 6A(2( (3) (4) LCAB, menyediakan permohonan pengiktirafan ‘territorial domain’ dibuat oleh Superintenden Tanah dan Survei dan diluluskan oleh Pengarah Tanah dan Survei.
Katanya sebarang bantahan oleh Pengarah Tanah dan Survei ke atas permohonan itu, boleh dikemukakan rayuan kepada menteri (bertanggungjawab). -Utusan Borneo Online
No comments