Header Ads

Header ADS

RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018 (LCAB) Diperkenalkan Selesikan Takrifan Tanah NCR


KUCHING - Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2018 (LCAB) diperkenalkan bagi menyelesaikan isu tiada pengiktirafan kepada beberapa adat bumiputera oleh undang-undang Sarawak berkaitan hak ke atas tanah hak Bumiputera (NCR) di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, RUU itu akan meningkatkan lagi pentadbiran tanah yang seterusnya memperkukuhkan perlindungan ke atas tanah NCR.

"Hari ini merupakan saat paling bersejarah untuk penduduk peribumi Sarawak. Kenapa? Kerana kita akhirnya akan mencapai penyelesaian kepada isu-isu hak ke atas NCR dengan Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 ini.

"Hasil daripada RUU ini yang dicadangkan ini akan membolehkan surat hak milik tanah untuk tanah adat Bumiputera selama-lamanya dikeluarkan bagi satu-satu kawasan yang digambarkan sebagai kawasan wilayah liputan peribumi (native territorial domain)," katanya ketika membentangkan bacaan kedua RUU LCAB 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata kebanyakan kerajaan memberikan hak 'usufrukturary' kepada masyarakat pribuminya ke atas tanah yang diduduki secara tradisi.

"Di sini di Sarawak di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), wilayah liputan (territorial domain) diberi kuasa undang-undang dan diiktiraf secara sah kerana mempunyai hak selama-lamanya.

"Dokumen hak milik akan dikeluarkan kepada masyarakat berkenaan untuk melindungi wilayah liputan mereka," katanya.

Uggah berkata antara ciri utama LCAB 2018, ialah hak ke atas tanah boleh dibuat oleh penduduk asal melalui akses ke sesuatu kawasan, bersempadanan atau bersebelahan dengan tanah NCR di bawah Seksyen 2 Kanun Tanah jika hak 'usufruktary' yang dilaksanakan oleh penduduk pribumi sebelum 1 Januari 1958.

Katanya, istilah 'usufructuary' hanyalah deskriptif dari adat dan amalan yang akan diiktiraf secara undang-undang oleh peruntukan dipinda untuk mewujudkan hak pemilikan ke atas wilayah liputan.

"Kebiasaan dan amalan yang diterangkan di bawah takrif hak-hak 'usufructuary' adalah sama dengan adat 'Pemakai Menoa' dan 'Pulau Galau' masyarakat Iban. "Amalan-amalan ini kini diberi pengiktirafan di bawah istilah hak 'usufructuary', jelasnya.

Beliau menambah kawasan hak-hak tersebut telah diwujudkan akan dikenali sebagai 'kawasan liputan wilayah peribumi' di mana surat hak milik selama-lamanya akan dikeluarkan.

Katanya surat hak milik itu, akan dikeluarkan kepada mana-mana individu atau pihak sebagai pemegang amanah oleh komuniti pribumi. -Utusan Borneo Online



No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.