Header Ads

Header ADS

Kerajaan Negeri Sarawak Tidak Akan Berkrompomi Dalam Isu Royalti Minyak Dan Gas - Abang Johari


KUCHING - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak tidak boleh berkompromi dalam isu royalti minyak dan gas. 
Beliau berkata, minyak dan gas yang terdapat di Sarawak merupakan hak Sarawak dan Sarawak adalah pemiliknya. 
“Kita tidak boleh berkompromi dalam hal royalti (minyak dan gas) kerana ia adalah hak pemilikan, kerana definisi royalti itu bermaksud sedemikian. 
“Ia sama seperti hak paten dan hak harta intelek, jika digunakan oleh pihak lain, maka pemiliknya mesti dibayar royalti kerana itu haknya dan hartanya. Konsep sama diaplikasi untuk minyak dan gas Sarawak,” tegasnya. 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei (HIITS) di sini, semalam. 
Abang Johari berkata, sebagai pemilik minyak dan gas di Sarawak, Sarawak seharusnya menentukan kadar royalti dibayar, bukannya pihak lain. 
“Sebagai pemilik, kita berpuas hati dengan lima peratus royalti yang dipersetujui sebelum ini, tetapi sekarang kita mahu ia ditambah kerana nilai mata wang dan permintaan minyak dan gas berbeza. 
“Oleh kerana itu, kita melihat ada keperluan untuk menambah bayaran royalti minyak dan gas kepada Sarawak iaitu daripada lima peratus kepada 20 peratus,” jelasnya. 
Menjawab satu soalan, Abang Johari berkata, buat masa ini beliau tidak akan mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai royalti yang diumumkannya baru-baru ini. 
Sebaliknya, beliau memberitahu, Sarawak tetap menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO), sementara menunggu keputusan akhir kerajaan persekutuan berhubung royalti minyak dan gas. 
“Buat masa ini, kita masih belum pasti, kita juga masih belum pasti kerana pada sebelah pagi, beliau (Dr Mahathir) mengatakan ia adalah royalti, tetapi sebelah petang mengatakan ia berdasarkan keuntungan pula. 
“Yang mana satu beliau gunakan, kita tidak tahu. Sebab itu, sehari selepas itu saya meminta penjelasan. Setakat ini belum ada (penjelasan),” katanya. 
Mengenai pertemuan beliau dengan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Isnin lepas, Abang Johari berkata, ia hanyalah pertemuan tidak rasmi. 
“Saya ada melihat kenyataannya, mengatakan kami mengadakan rundingan mengenai cadangan royalti minyak dan gas kepada negeri pengeluar, sama ada kami mengenakan royalti berdasarkan pengeluaran atau keuntungan. 
“Itu perkara yang kami bincangkan. Tiada jalinan kerjasama. Beliau hanya mahu mengetahui pandangan dan pendirian kita mengenai isu ini,” jelasnya. 
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari memberitahu Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencari penyelesaian ‘menang-menang’ kepada isu kawal selia aktiviti minyak dan gas di negeri ini. 
Katanya, perkara itu telah dibincangkan bersama Petronas ketika wakil syarikat berkenaan bertemu dengan beliau, baru-baru ini. Bagaimanapun, beliau berkata, perincian mengenai perbincangan dan penyelesaian ‘menang-menang’ itu tidak boleh didedahkan ketika ini. 
“Ya, mereka (Petronas) ada berjumpa dengan saya. Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mereka (untuk memulakan prosiding mendapatkan perisytiharan berhubung kuasa mengawal selia aktiviti minyak dan di Sarawak). 
“Tetapi, saya tidak boleh dedahkan perincian rundingan... Sudah tentu kami membincangkan beberapa cadangan situasi ‘menang-menang’ bersama. Kita bukannya tamak,” tegasnya. 
Abang Johari berkata, minyak dan gas merupakan hak Sarawak dan jika Petronas mahu mengambil sumber semula jadi itu, rundingan perlu dibuat dengan kerajaan Sarawak. 
Ujarnya, walaupun Sarawak mempunyai hak ke atas minyak dan gas, kerajaan Sarawak mesti menghormati hakikat industri minyak dan gas negara telah dibangunkan oleh Petronas. 
“Petronas merupakan pemain utama dalam industri minyak dan gas negara tetapi secara kebetulan, sumber berkenaan berada di atas tanah Sarawak, jadi kita mesti bekerjasama. 

“Kita mesti menghormati mereka (Petronas), bukan menyerang mereka dan kita juga bukannya tamak, tetapi itu hak kita,” ujarnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.