Header Ads

Header ADS

5 Individu Termasuk 2 Penolong Pengarah Kanan BTN Sarawak Ditahan Reman


KUCHING - Lima individu termasuk dua Penolong Pengarah Kanan Biro Tatanegara (BTN) direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung membuat tuntutan palsu sebanyak RM600,000 pada 2016.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Syukri Mokhtar di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 34 hingga 55 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semalam mereka ditahan pukul 4.30 petang di Pejabat SPRM Sarawak ketika hadir untuk memberi keterangan.

Menurut sumber, tiga daripada individu terbabit pernah berkhidmat di BTN Sarawak, namun kini telah berpindah ke jabatan lain serta bersara.

Kata sumber, mereka dipercayai bersubahat dengan 43 buah syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja.

"Jumlah tuntutan bagi satu-satu kerja berjumlah antara RM2,000 hingga RM6,000.

"Kesemua pembayaran telah dibuat ke beberapa akaun pemilik syarikat pada tahun 2016 dan kelima-lima suspek dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang pilih oleh mereka," katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, siasatan juga mendapati kira-kira 70 peratus perkhidmatan atau pembekalan yang telah dilakukan oleh syarikat-syarikat terbabit kepada pihak BTN adalah tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

"Kelima-lima suspek yang mempunyai kawalan ke atas akaun BTN disyaki telah menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi," ujarnya. - K! ONLINE

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.