Header Ads

Header ADS

2 Pegawai Kanan BTN Sarawak Antara 5 Individu Ditahan SPRM Disyaki Buat Tuntutan Palsu


KUALA LUMPUR - Lima individu termasuk dua Penolong Pengarah Kanan Biro Tatanegara (BTN) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Suspek melibatkan tiga lelaki dan dua wanita yang berusia antara 34 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang tadi di Pejabat SPRM Sarawak ketika hadir untuk memberi keterangan.

Tiga daripada mereka sebelum ini pernah berkhidmat di BTN Sarawak namun dipindahkan ke jabatan lain serta bersara.

Menurut sumber, mereka dipercayai bersubahat dengan 43 buah syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja.

“Jumlah tuntutan bagi satu-satu kerja bernilai antara RM2,000 hingga RM6,000. Kesemua pembayaran telah dibuat ke beberapa akaun pemilik syarikat pada tahun 2016 dan kelima-lima suspek dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang dipilih oleh mereka,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menjelaskan pihaknya dalam proses mendapatkan beberapa dokumen berhubung pembayaran yang dibuat itu.

Katanya, kelima-lima suspek ditangkap bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Kesemua suspek dijangkan akan direman di Mahkamah Majistret Kuching esok (hari ini),” katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.