Header Ads

Header ADS

Daging Bukan Barangan Harga Kawalan


KUALA LUMPUR - Daging yang semakin mendapat permintaan di pasaran menjelang Aidiladha bukan tertakluk dalam senarai barangan harga terkawal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, ketika menjelaskan perkara itu berkata harga daging di pasaran sebaliknya ditentukan faktor permintaan dan penawaran.
Katanya, penyusutan bekalan daging di pasaran ketika ini secara tidak langsung menyebabkan peningkatan harga bahan mentah itu, khususnya menjelang musim perayaan.
"Kita perlu mengorak inisiatif untuk memastikan bekalan daging yang mencukupi supaya ia tidak membebankan pengguna susulan peningkatan harga bahan berkenaan di pasaran," katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa 2018 (MIRF 2018) yang akan berlangsung sehingga Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Pameran berskala mega anjuran Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) itu dijangka dihadiri lebih 25,000 pengunjung dari 11 negara di seluruh dunia, dengan sasaran pendapatan sebanyak RM70 juta.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, beberapa syor, merangkumi maklumat barangan bakul pengguna diberikan untuk pertimbanagan Kementerian Kewangan dalam merangka pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Beliau berkata, syor itu dibuat berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perangkaan bagi memastikan hak dan hal ehwal pengguna sentiasa diutamakan.
"Syor kita kepada MOF (Kementerian Kewangan) ialah pelaksanaan SST yang sama ada berkadar sifar, lima atau 10 peratus harus mengambil kira maklumat daripada bakul pengguna.
"Ini kerana berdasarkan maklumat Jabatan Perangkaan, sebanyak 30 peratus daripada bakul pengguna ialah makanan, 15 peratus terdiri daripada perumahan dan utiliti, manakala 20 peratus ialah pengangkutan.
"Pertimbangan berlandaskan maklumat bakul pengguna ini penting dalam mengembalikan semula SST kerana ia memberikan kesan langsung kepada rakyat," katanya.
Mengulas penggunaan sistem automatik dalam rekod transaksi perniagaan pasca pelaksanaan semula SST, Saifuddin berkata, keputusan sedemikian yagn diambil kerajaan bukan bertujuan membeban dan menyusahkan mana-mana pihak.
Beliau sebaliknya menjelaskan semua persiapan bagi memperkenalkan semula SST ketika ini dilaksana mengikut jadual, justeru pindaan peruntukan perundangan termasuk menarik balik akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST( yang berkuat kuasa 1 April 2015 tidak berdepan sebarang penangguhan.
"Perubahan aspek teknikal selepas pelaksanaan semula SST akan dlihat dalam kalangan penggiat industri berkaitan, tetapi apa sekali pun dasar yang dibuat kerajaan bukan untuk menyusahkan sesiapa," katanya.
Menyentuh perkembangan francais, Saifuddin berkata, kerajaan mengunjurkan sektor berkenaan menyumbang RM35 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KPDNK) menjelang 2020.
Sasaran itu, katanya, berupaya dicapai berdasarkan prestasi semasa dan perangkaan yang dicatatkan oleh 863 sistem francais di negara ini setakat 30 Mei lalu.
"Angka ini (sasaran RM35 bilion) munasabah dan realistik, justeru kita optimis berupaya mencapainya menjelang 2020 kerana mendapat maklum balas yang baik daripada industri," katanya. -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.