Cikgu Catherine 'Wira Sarawak'
KUCHING - Kematian Catherine Janet Tiwi, 25, ketika menyelamatkan nyawa rakan setugasnya dalam tragedi kebakaran yang memusnahkan kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan di Mulu, Miri semalam, wajar dikenang sebagai satu pengorbanan besar, terutama dalam kerjaya perguruan.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata guru muda itu meletakkan keselamatan rakannya pada tahap keutamaan tertinggi sehingga nyawanya sendiri terkorban dan seharusnya mendiang dikenang sebagai `Wira Sarawak'.
"Cikgu Catherine satu lambang semangat tulen seorang guru yang mampu mengangkat `darjat' kerjaya warga pendidik, bukan hanya di Sarawak, bahkan di Malaysia. Malah, semangatnya perlu dijiwai segenap lapisan guru di negara ini, terutamanya mereka yang mencurahkan bakti di sekolah pedalaman dan luar bandar.
"Sewajarnya Cikgu Catherine dikenang pada tahap penghargaan tertinggi, setimpal dengan pengorbanan dilakukannya kerana insiden berkenaan berlaku di lokasi penugasannya...di sekolah pedalaman dan luar bandar dalam keadaan serba serbi kekurangan demi tanggungjawabnya pada anak bangsa," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.
Dalam insiden kebakaran kira-kira jam 5 pagi semalam, Catherine yang berasal dari Kampung Skio, Bau dan juga lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Miri, terkorban ketika cuba menyelamatkan dua rakan setugasnya yang terperangkap dalam kuarters didiami mereka.
Difahamkan, mangsa yang juga anak kepada seorang anggota bomba, bertindak masuk semula ke dalam kuarters berkenaan sejurus menyedari dua lagi rakannya masih terperangkap, namun guru muda itu dipercayai gagal menyelamatkan diri berikutan api marak dan asap tebal.
Sementara itu, Fatimah yang sebelum ini lantang memperjuangkan usaha penambahbaikan kemudahan pendidikan di Sarawak, berkata semua pihak, khususnya Kerajaan Persekutuan wajar mengambil iktibar dari tragedi itu, yang jelas memperlihatkan keperluan mendesak proses menaiktaraf sekolah daif di negeri ini, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
"Kementerian Pendidikan perlu 'buka mata'... perlu beri keutamaan tertinggi terhadap usaha penambahbaikan itu bagi memastikan keselesaan dan keselamatan warga pendidik, selain murid dan pelajar di kesemua sekolah berkenaan berada pada tahap terbaik.
"Kita cukup mengagumi semangat kental warga pendidik yang berkhidmat di sekolah daif itu, yang bukan sahaja bilik darjah dan rumah gurunya usang, malah tiada elektrik dan air bersih, selain jalan raya, namun cukup berdedikasi mendidik anak bangsa. Ini perlu diberikan perhatian untuk usaha penambahbaikan," katanya.
Di MIRI, suasana hiba menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Miri, dengan kehadiran rakan setugas dan anggota keluarga mendiang yang datang sejak awal pagi tadi bagi memberikan penghormatan terakhir, sejurus proses bedah siasat selesai dijalankan.
Bagi rakan setugasnya, Adib Mat, 38, kehilangan Catherine bukan sahaja dirasai warga SK Penghulu Baya Mallang, bahkan seluruh komuniti di sekitarnya kerana mendiang cukup aktif menjalankan aktiviti sosial dan kemasyarakatan, selain mempunyai hubungan rapat dengan penduduk setempat.
"Beliau seorang guru yang proaktif, berdedikasi dan sentiasa mengambil berat hal berkaitan muridnya, yang kebanyakannya anak-anak pedalaman. Sebagai rakan setugas, memang kami rasa cukup terkesan dengan kehilangan Catherine. Tambahan pula, mendiang seorang yang sangat ceria dan tidak pernah lokek dengan senyuman," katanya.
Adib berkata, rakannya itu mula bertugas di sekolah berkenaan sejak Mei tahun lalu, dengan pengkhususan dalam Bahasa Inggeris, malah menjadi matlamat utamanya mahu memastikan anak-anak pedalaman di kawasan berkenaan menguasai subjek berkenaan.
"Mendiang cukup disayangi anak-anak muridnya walaupun belum lama beliau bertugas di sekolah berkenaan," katanya. -BH Online
No comments