Header Ads

Header ADS

Kerajaan PH Mungkin Gagal Penuhi Janji Manifesto Buku Harapan


KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan gagal memenuhi janji manifesto Buku Harapan dalam tempoh 100 hari kerana didakwa menawarkan janji populis kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata disebabkan itu PH tidak dapat membuat anggaran kos atau nilai janji yang boleh ditawarkan kepada rakyat.
Beliau berkata kekurangan akses data, statistik dan maklumat terperinci ketika merangka manifesto turut menyebabkan pelaksanaan atau pemerkasaan manifesto PH tersasar.
"Manifesto PH (mungkin) dibuat menerusi kenyataan umum dan carian di 'Google' kerana susah untuk mendapatkan statistik atau data terperinci ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).
"BN pegang data ketika itu, misalnya data di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)... orang luar, penyelidik seperti saya misalnya, tidak akan dapat data semudah mereka (BN).
"Sebab itu BN yang sudah 60 tahun memerintah boleh membuat manifesto dengan mengambil kira kos serta anggaran masa untuk menunaikan janji mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Awang Azman merujuk janji 100 hari sebagai ideologi pentadbiran Amerika Syarikat sebagai tanda simbolik penguasaan PH mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
Beliau berkata, apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan manifesto PH bukan kitab suci yang perlu dipatuhi bermakna ada keberangkalian kesemua manifesto itu tidak dapat ditunaikan dalam tempoh 100 hari.
Katanya, dipercayai Dr Mahathir akan cuba mengalihkan perhatian rakyat kepada isu baharu antaranya menggunakan alasan faktor ekonomi semasa termasuk hutang negara di luar jangka sebelum mengambil alih kerajaan daripada BN untuk menangguhkan pelaksanaan manifesto.
"Seperti yang diakui (Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Wan Saiful Wan Jan), manifesto PH dibuat dengan kajian tidak terperinci kerana kekurangan data. Apa-apa yang dijanjikan sukar dipenuhi dalam tempoh masa ditetapkan.
"Justeru tempoh 100 hari hanya sekadar penguasaan PH di Putrajaya. Manifesto pula pasti melebihi waktu dan sukar ditunaikan," katanya.
Awang Azman berkata kegagalan PH menunaikan manifesto akan menghakis kepercayaan rakyat yang membuat keputusan untuk mengundi PH pada PRU lalu.
"Rakyat akan menghukum PH. Kedudukan PH mungkin akan rapuh dalam tempoh satu hingga tiga tahun ini sekiranya tidak ada janji yang ditunaikan sepenuhnya atau diberikan penjelasan meyakinkan kepada pengundi," katanya.
Sementara itu, Pengarah Institut Kepemimpinan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam, berkata manifesto PH bukan sekadar panduan tetapi komitmen, ikrar dan janji yang perlu ditunaikan kecuali jika ada had perundangan.
"Kalau ini tahap kerisauan mengenai manifesto, saya sangsi bagaimana kita boleh berubah (pandang ke depan).
"Kerajaan sedang membuat perubahan. Tetapi jika ini yang berlaku (kritikan) kita akan kembali kepada corak pemerintahan seperti sebelum ini," katanya.
Masih berbaki 25 hari masa untuk kerajaan PH menunaikan janji mereka.
Ketika ini, PH sudah menunaikan dua janjinya, iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sifar peratus bermula 1 Jun lalu dan penangguhan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Dua lagi janji iaitu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan janji menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 sedang dalam perbincangan.
Manifesto PH yang dilancarkan pada 1 Mac lalu menggariskan 10 janji yang akan dilaksanakan dalam masa 100 hari mentadbir Putrajaya, serta 60 janji yang akan dilaksanakan dalam masa lima tahun.
Sepuluh janji yang akan dilaksanakan dalam 100 hari pentadbiran PH adalah:
1. Menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat
2. Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar
3. Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda
4. Memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah
5. Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum
6. Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam
7. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka
8. Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963
9. Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40
10. Melancarkan kajian terperinci mengenai projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing. -BH Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.